MARITIM TAHAN PAM BOT DISYAKI GUNA BOM IKAN DI PERAIRAN KUNAK

TANGKAP: Kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah pam bot yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi pada kedudukan satu batu nautika di timur laut perairan Kunak oleh anggota bot ronda yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan dua kru lelaki suku Palauh berusia antara 18 hingga 23 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

“Tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan kira-kira 15 kilogram ikan serta beberapa peralatan menyelam termasuk hos udara di dalam bot berkenaan.

Dzulfikhar menjelaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan adalah kesalahan serius kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang serta menjejaskan sumber perikanan negara.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara.

“Kesemua kru, vesel serta hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pihak Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut selain menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …