SUMBANGAN: Nizam (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada institusi tahfiz di daerah Tawau.
TAWAU: Kira-kira 500 huffaz dari pelbagai institusi tahfiz di daerah ini berhimpun sempena Sambutan Nuzul al-Quran Perdana dan Perhimpunan Huffaz Peringkat Daerah Tawau yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan pada bulan Ramadan.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Nizam berkata, sambutan Nuzul al-Quran adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam kerana ia memperingati turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat agung dan panduan kehidupan umat Islam.
Katanya, al-Quran bukan sahaja menjadi pedoman dalam kehidupan, malah membimbing manusia ke arah kesejahteraan di dunia dan akhirat.
“Peristiwa Nuzul al-Quran ini harus sentiasa kita ingati kerana al-Quran adalah mukjizat paling agung daripada Allah SWT yang menjadi panduan kehidupan umat Islam.
“Ia juga menjadi pedoman supaya kita dapat hidup dalam keadaan sejahtera di dunia dan akhirat,” katanya ketika ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di sini, semalam.
Beliau berkata, penganjuran program itu juga menjadi platform menghimpunkan pelajar tahfiz serta golongan huffaz di daerah Tawau bagi memupuk kecintaan terhadap al-Quran.
PENGHARGAAN: Nizam menerima cenderakenangan daripada pengerusi Masjid Al-Kauthar Tawau, Haji Khalid Haji Tahir.
Menurutnya, perhimpunan itu bukan sahaja memberi peluang kepada para huffaz untuk bertemu dan berinteraksi, malah mengisi Ramadan dengan aktiviti kerohanian yang bermanfaat.
“Melalui program ini, para peserta bukan sahaja berhimpun, malah turut mengadakan khatam al-Quran, berbuka puasa bersama, qiamullail dan bersahur secara berjemaah.
“Pengisian seperti ini sudah pasti dapat meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT di samping memperingati perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan wahyu dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.
Nizam berkata, kehadiran kira-kira 500 huffaz dalam program berkenaan merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana berjaya menghimpunkan pelajar tahfiz dari seluruh daerah Tawau.
Katanya, penyertaan itu membuktikan minat dan komitmen generasi muda terhadap pengajian al-Quran terus berkembang di daerah ini.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
“Program seperti ini sangat baik dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai anak muda terlibat dalam usaha memartabatkan al-Quran,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



