TOKAN DIBURU, EMPAT PENAGIH DITAHAN DI TELIPOK RIA

RAMPAS: Dadah yang dirampas semasa penahanan suspek.

TUARAN: Aktiviti penagihan dadah di kawasan perumahan kembali dibanteras apabila empat lelaki dicekup dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Perumahan Telipok Ria, semalam.

Operasi Ops Tapis yang dijalankan kira-kira jam 9 hingga 10 malam memberi tumpuan di kawasan perhentian bas dan van sewa Telipok Ria Fasa 3 yang dipercayai menjadi lokasi penagih mendapatkan bekalan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan terhadap empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun mendapati kesemua mereka positif methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, tiga suspek turut dikesan memiliki dadah ketika pemeriksaan dijalankan di lokasi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Wan’ yang disyaki bertindak sebagai pengedar di kawasan ini.

“Usaha mengesan lelaki berkenaan giat dijalankan membabitkan semua elemen,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pasukan operasi merampas kira-kira 0.81 gram syabu yang disimpan dalam empat tiub plastik lutsinar dengan anggaran nilai RM100.

“Semua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Alhusin berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi dan risikan bagi mengekang kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras dadah demi melindungi masyarakat dan generasi muda.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

MURID TAHUN 2 MAUT, NENEK PARAH TERBABIT KEMALANGAN DALAM PERJALANAN KE SEKOLAH

Setiu: Seorang murid perempuan Tahun Dua maut manakala neneknya cedera parah selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan …

BEKALAN DARAH NEGARA: MENGAPA KITA SENTIASA MEMERLUKAN PENDERMA?

Darah merupakan satu keperluan penting dalam sistem kesihatan sesebuah negara. Setiap hari, terdapat pesakit yang memerlukan darah akibat kemalangan, pembedahan, …

MANFAAT PELUH KEPADA KESIHATAN

Peluh merupakan cecair yang dihasilkan oleh kelenjar peluh pada kulit manusia. Pengeluaran peluh biasanya berlaku apabila seseorang melakukan aktiviti fizikal, …