ENAM PREMIS DIAMBIL TINDAKAN DALAM OPERASI BERSEPADU DI TAWAU

OPERASI: Mohd Roli (empat kiri) bersama pasukan penguat kuasa lain yang menyertai operasi berkenaan.

TAWAU: Enam premis diambil tindakan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau bersama beberapa agensi penguat kuasa di Pasar Ikan, Pasar Tanjong dan Bazar Ramadan di sini, pada Rabu.

Operasi berkenaan dilaksanakan bersama Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Bahagian Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Tawau, Mohd Roli Aliman, berkata sebanyak 60 pemeriksaan premis dijalankan dalam operasi itu bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan berkaitan penandaan harga serta penggunaan alat timbang yang sah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi undang-undang dengan mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang masih dalam tempoh penentusahan.

“Bagaimanapun, enam premis didapati melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda harga serta menggunakan alat timbang yang sudah tamat tempoh untuk tujuan perdagangan.

“Semua kes berkenaan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan kompaun ditawarkan secara ‘on the spot’,” katanya ketika dihubungi, semalam.

PEMERIKSAAN: Mohd Roli ketika mengikuti operasi di pasar ikan Tawau.

Beliau berkata, nilai keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap kesalahan berkenaan adalah sebanyak RM1,300.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati terdapat barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai sebagaimana diwajibkan.

“Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Mohd Roli berkata, KPDN Tawau bersama agensi terlibat akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa terutama menjelang musim perayaan bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan secara beretika dan mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.

“Orang ramai yang mempunyai aduan boleh menyalurkannya melalui portal e-aduan.kpdn.gov.my, menghubungi talian 089-776690 atau WhatsApp 019-279 4317 dan 019-848 8000,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …