MAJLIS YASIN, TAHLIL KENANG WIRA TANDUO LAHAD DATU

MENGENANG JASA: Semua pasukan keselamatan dan tetamu yang hadir membaca surah Yasin untuk semua wira negara yang gugur di Kampung Tanduo.

LAHAD DATU: Suasana hiba menyelubungi Masjid Ar Raudhah, di sini apabila Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan Ceramah bersempena Peringatan Peristiwa Tanduo diadakan, malam tadi.

Program anjuran Pejabat Daerah Lahad Datu bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu dihadiri pegawai kanan dan anggota Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), selain komuniti setempat.

Majlis diadakan bagi mengenang pengorbanan pasukan keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo serta serangan pengganas di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada 2013.

Acara dimulakan dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa yang dipimpin Imam Daerah Lahad Datu merangkap Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Ustaz Mohammed Fahmy Abdul Rahman bersama Imam Kariah Masjid Ar Raudhah.

Program kemudian diteruskan dengan tazkirah ringkas disampaikan Imam Masjid Ar Raudhah merangkap Jurunikah dan Wali Raja, Ustaz Sudirman Moh Saleng yang mengajak hadirin mengambil iktibar daripada peristiwa hitam berkenaan.

Hadir sama, Asisten Komisioner Azhari Nusi mewakili Komander ESSCOM, Pengerusi Masjid Ar Raudhah Lahad Datu Sari @ Usari Arshad serta Pegawai Tadbir Agama Lahad Datu, Ustaz Mardi Arifin.

 AZHARI

Peristiwa Tanduo pada 2013 menyaksikan anggota keselamatan negara bertempur dengan kumpulan bersenjata asing yang menceroboh Kampung Tanduo sebelum tercetus serangan di Kampung Sri Jaya Simunul.

Tragedi itu membawa kepada pewartaan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) serta penubuhan ESSCOM pada tahun sama sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatan di pantai timur Sabah.

Antara wira negara yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, Sarjan Sabarudin Daud, Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan.

Manakala di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, enam lagi anggota keselamatan terkorban iaitu Allahyarham Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Mendiang Deputi Superintenden Michael Padel, Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit, Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Sarjan Sokongan Salam Togiran serta Koperal Mohd Azrul Tukiran.

Majlis tahunan itu diakhiri dengan berbuka puasa dan solat tarawih bersama, sekali gus mengeratkan hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat setempat.

Orang ramai turut diseru agar terus mendoakan kesejahteraan para wira negara serta memainkan peranan membantu kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …