LAWAT: Arifin sempat berbual bersama mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Kesenian Islam Membakut.
MEMBAKUT: Kejadian banjir di Membakut kali ini menyaksikan seramai 303 penduduk daripada 116 Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dekat sini, setelah diisytihar sebagai kawasan bencana oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut, Yuesri Ismail Yusof.
Setakat jam 12 tengah malam tadi, kesemua mangsa masing-masing ditempatkan di PPS Dewan Kesenian Islam Membakut dan juga Dewan Sekolah Menengah (SM) St Patrick Membakut, ekoran banjir yang berlaku.
Malam tadi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkesempatan meninjau keadaan mangsa banjir di dua PPS yang dibuka.
Arifin ditemani Pengerusi JPBD Membakut, Yuesri Ismail Yusof yang juga Pegawai Daerah Membakut serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut dan juga pimpinan masyarakat yang lain ke pusat itu.
TAKLIMAT: Yuesri sedang memberi penerangan kepada Arifin tentang perkembangan situasi di PPS.
Dalam lawatan itu, Arifin diberi taklimat mengenai keadaan banjir dan perkembangan semasa selain sempat meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk yang ditempatkan di dua PPS berkenaan.
Arifin dalam sidang media memaklumkan, kajian mengenai tebatan banjir di Membakut telah pun selesai dan akan menyusuli perkara itu bersama Pegawai Daerah bagi memastikan pelaksanaan itu dapat disegerakan.
Beliau ditemui pemberita bagi mengulas mengenai pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang sering terjejas banjir di Sabah, yang menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, akan diteliti Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Arifin berkata, projek tebatan banjir di Membakut akan menjadi salah satu fokusnya iaitu agenda utama seiring kemajuan pembangunan dan juga kesejahteraan rakyat.
BERBUAL: Arifin sedang bersembang dengan mangsa banjir semasa mengadakan lawatan ke PPS Dewan Kesenian Islam Membakut.
Dalam perkembangan berkaitan, Arifin memberi jaminan aspek kebajikan mangsa banjir di PPS akan diberi perhatian sebaik mungkin demi keselesaan mereka lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
Mangsa banjir khususnya umat Islam katanya akan disediakan makanan untuk sahur dan juga sungkai manakala bagi mereka yang bukan Islam akan turut disediakan sarapan dan makanan oleh jawatankuasa pengurusan yang terlibat.
Tambahan itu, Arifin berkata pihak jawatankuasa juga membekalkan pelitup muka sebagai usaha awal mencegah penyebaran penyakit Tuberkulosis (tibi) ekoran terdapat peningkatan kes itu di negara ini, kebelakangan ini, demi kesihatan mangsa-mangsa banjir di PPS terlibat.
Walaupun belum terdapat kes direkodkan, namun orang ramai terutama di pusat tumpuan awam seperti di PPS, masyarakat disyorkan memakai pelitup muka khususnya mereka mempunyai gejala atau tanda seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak, demi mengekang penularan penyakit.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



