RASMI: Dr Mohd Arifin melakukan gimik Pelancaran Majlis rukyah hilal rasmi (Ramadan syawal dan zulhijjah seterusnya Majlis Rukyah Hilal Ramadan Tahun 1447H/2026M di Balai Cerap Al-Biruni,Tanjung Dumpil.
PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, malah berperanan penting dalam pendidikan dan penyelidikan falak di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, balai cerap berkenaan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam yang lebih komprehensif.
Katanya, ia juga boleh diketengahkan sebagai pusat penyelidikan berdaya saing dan berteknologi tinggi selain destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, aspek infrastruktur perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan memenuhi standard sewajarnya.
“Ini termasuk penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung serta akses lebih mesra pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2026M di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sedia membantu bagi memastikan balai cerap itu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah.
“Saya yakin dengan perancangan strategik dan kerjasama pelbagai pihak, balai cerap ini bukan sahaja menjadi kebanggaan umat Islam, malah kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
“Semoga generasi muda yang hadir hari ini melihat bahawa bidang falak dan astronomi mempunyai ruang luas untuk diterokai serta mampu menjadi kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” katanya.
Beliau turut berkata, majlis berkaitan ibadah umat Islam seperti itu bukan sahaja mempunyai nilai spiritual tinggi, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan urusan agama Islam diurus secara bertanggungjawab, profesional dan berintegriti.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



