Kerajaan akan terus memperluas pengintegrasian perkhidmatan daripada aplikasi sedia ada seperti MySejahtera, MyJPJ, MyBorderPass dan MyDigital ID ke dalam aplikasi MyGov Malaysia bagi memudahkan akses rakyat menerusi satu platform tunggal yang lebih bersepadu dan efisien.
Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo berkata, lebih 30 aplikasi perkhidmatan kerajaan baharu akan disepadukan ke dalam aplikasi MyGov tahun ini. Bagaimanapun, kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan aplikasi kerajaan sedia ada buat masa ini. Sebaliknya, kerajaan akan terus memantau corak penggunaan serta keperluan rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang langkah penyeragaman pada masa hadapan.
Sehingga kini, MyGov Malaysia menyediakan 44 perkhidmatan melibatkan 16 agensi kerajaan. Proses integrasi ini dilaksanakan secara berterusan dan berfasa dengan keutamaan kepada perkhidmatan bersifat umum, berimpak tinggi serta kerap digunakan rakyat, termasuk fungsi permohonan dan semakan.
Jumlah muat turun MyGov Malaysia setakat ini mencecah lebih 1,567,000 berbanding 437,000 pada Disember lalu, peningkatan hampir 200 peratus yang mencerminkan penerimaan positif rakyat. Lonjakan itu didorong hebahan fungsi semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta semakan Wang Tidak Dituntut (WTD) melalui aplikasi berkenaan, selain pelaksanaan pembayaran STR pada bulan sama yang mendorong orang ramai memuat turun aplikasi bagi menyemak kelayakan dan status bayaran masing-masing.
Walau bagaimanapun, kerajaan berdepan cabaran untuk menghimpunkan semua aplikasi sedia ada yang sedang digunakan pelbagai agensi dan jabatan ke dalam aplikasi MyGOV Malaysia dan memerlukan sedikit masa untuk menghimpunkan semua aplikasi sedia ada itu.
Inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) kini masih dalam proses dibangunkan dan dijangka dapat dilancarkan penggunaannya secara rasmi pada Jun tahun ini.
Sumber: Astro Awani



