OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.
KOTA KINABALU: Dua individu, termasuk seorang warga emas, cedera selepas tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tebobon, Menggatal, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 60 tahun melecur pada bahagian tangan, kaki dan belakang badan, manakala seorang wanita berusia 48 tahun dilaporkan cedera ringan selepas melecur pada tangan kanan dan kaki kiri. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi sebelum anggota dan jentera digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah sebelum operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran.
“Ketiga-tiga rumah terbabit terbakar hampir 95 peratus. Dua mangsa dilaporkan cedera melecur dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.41 pagi, manakala dua rumah berhampiran turut diselamatkan.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan pada jam 8.30 pagi selepas lokasi disahkan selamat,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



