LALUAN PLAZA TOL SIMPANG AMPAT DINAIK TARAF KEPADA EMPAT LORONG

Durian Tunggal – Jalan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning akan dinaik taraf kepada empat lorong bagi melancarkan pergerakan kenderaan keluar masuk ke negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu bagi menguraikan kesesakan trafik di kawasan tersebut.

Katanya, projek pelebaran jalan terbabit daripada dua kepada empat lorong itu bakal menelan belanja hampir RM21 juta.

“Projek pelebaran jalan ini dijangka akan melebarkan jalan dari satu lorong kepada dua lorong untuk satu arah, menjadikannya empat lorong, di mana bukan musim perayaan sahaja kawasan ini sesak, pada hari biasa waktu puncak lokasi ini turut padat.

“Tender projek pelebaran jalan ini telah dibuka dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2027 nanti,” jelasnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan paras air di Empangan Durian Tunggal, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Saleh Jusman; Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Azizul Adzran Mahmor serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata penambahbaikan bagi projek terbabit telah diangkat ke pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan telah diluluskan pada hujung tahun lalu.

“Pelebaran laluan ini akan membabitkan kawasan selepas lampu isyarat terakhir menuju ke Plaza Tol Simpang Ampat dari arah Bandar Melaka.

“Kawasan ini telah menerima pelbagai aduan kerana ia turut menjadi laluan kenderaan berat, jadi permohonan Kerajaan Negeri melebarkan laluan ini dengan menaik taraf penambahan lorong diharapkan dapat menguraikan kesesakan trafik dalam DUN Taboh Naning itu,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

Pagi Lebih Tenang, Perjalanan Lebih Selamat: Adakah Konsep Slow Morning Praktikal?

Konsep “slow morning” semakin popular sebagai satu pendekatan untuk memulakan hari dengan lebih tenang dan teratur. Rutin ini lazimnya melibatkan …

Keselamatan Ergonomik di Tempat Kerja: Mencegah Sakit Leher dan Belakang

Keselamatan di tempat kerja bukan sahaja berkaitan dengan pencegahan kemalangan tetapi juga merangkumi penjagaan kesihatan fizikal pekerja. Salah satu masalah …

Adakah Dron sebagai Satu Ancaman?

Penggunaan dron semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan kini dimanfaatkan dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pemantauan, fotografi, penghantaran barangan …