TUMPAS: Rampasan dan tangkapan dadah direkodkan JSJN Sabah.
PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki mengedar dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin terbongkar selepas ditahan polis bersama hampir setengah kilogram dadah dalam serbuan di hadapan sebuah kondominium di daerah ini, pada Rabu.
Suspek berusia 37 tahun ditahan kira-kira jam 11 malam hasil pemerhatian sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum ditahan di dalam sebuah kenderaan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan terhadap kereta sedan dinaiki suspek membawa kepada penemuan 15 paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat keseluruhan 498.01 gram.
Katanya, pasukan serbuan turut menemukan enam paket kecil berisi dadah disyaki ketamin seberat 15.10 gram.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai 65 batang rokok disyaki mengandungi dadah.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM14,450,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku semua dadah berkenaan miliknya dan dipercayai mendapat bekalan daripada seorang individu.
“Bekalan ekstasi dan ketamin itu dipercayai dihantar ke sebuah pusat hiburan dengan kuantiti sekitar 15 paket ekstasi dan 25 gram ketamin bagi tujuan pengedaran.
“Siasatan juga mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober 2025,” katanya.
Beliau berkata, polis sedang mengesan rangkaian pengedaran serta sumber bekalan bagi mengekang aktiviti jenayah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan dibuat bagi menjejaki rangkaian sindiket,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



