

Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar mercu tanda ikonik, malah simbol warisan yang menjadi saksi perjalanan sejarah dan pentadbiran Kuala Lumpur. Terletak di Kawasan Warisan Dataran Merdeka, bangunan bersejarah ini juga merupakan antara destinasi ikonik pelancong yang wajib dikunjungi apabila berada di ibu negara. Bangunan ini terus dipelihara menerusi Projek Pemuliharaan dan Pemeliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) bagi mengekalkan keaslian seni bina serta nilai sejarahnya, di samping penambahbaikan ruang awam dan perancangan trafik demi keselesaan serta keselamatan pengunjung.
Berteraskan tema “Menghargai Masa Lalu, Mengabadikan Masa Kini, Membina Masa Hadapan”, usaha ini memperkukuh peranan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai nadi penghayatan warisan, budaya dan pelancongan bandar.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pembukaan semula bangunan ini melengkapkan rangkaian destinasi pelancongan pusat bandar dan memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya beridentiti, lestari dan berdaya huni. Warisan bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dipelihara dan diwariskan —warisan dipelihara, bandar diperkasa, masa depan diraikan.
Sumber; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur



