DUA SAHABAT EDAR DADAH DITAHAN BERSAMA HAMPIR 400 GRAM SYABU

RAMPAS: Dadah yang dirampas semasa penahanan suspek.

KUDAT: Kegiatan dua sahabat yang disyaki bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak kira-kira sebulan lalu terbongkar apabila mereka ditahan bersama hampir 400 gram syabu dalam satu serbuan lewat malam Sabtu.

Operasi kira-kira jam 11.30 malam hasil maklumat awam menyaksikan Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menyerbu sebuah bilik sewa di atas kedai di Pekan Tomburungus sebelum menahan dua lelaki berusia 29 dan 17 tahun di dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemeriksaan menyeluruh menemukan beberapa bungkusan dadah yang disorok secara licik di beberapa lokasi dalam bilik berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan hablur kristal disyaki syabu dengan berat keseluruhan kira-kira 394.16 gram.

“Anggaran nilai rampasan sekitar RM43,357.60 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi.

MOHD HARIS

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua telefon bimbit, wang tunai serta sebuah beg galas bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran termasuk punca bekalan dadah yang diperoleh suspek.

“Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Haris mengingatkan orang ramai terutama golongan remaja dan belia supaya menjauhi penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan masa depan serta membawa hukuman berat.

Katanya, polis kekal tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah dadah.

“Orang awam digalak menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dadah di kawasan masing-masing,” katanya.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …