SUSPEK: Lelaki terbabit ditahan bersama syabu dan dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut.
SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.54 gram di Kampung Sungai Gajah, di sini, semalam.
Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kira-kira jam 11.30 pagi menerusi Op Tapis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima kegiatan pengedaran dadah di kampung berkenaan, sebelum operasi dilaksanakan.
Katanya, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pasukan bertugas.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu peket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 5.54 gram yang berada dalam simpanan suspek,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tan berkata, suspek berusia 33 tahun ditahan di lokasi kejadian dan hasil semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pengambilan, pemilikan atau pengedaran dadah.
“IPD Semporna akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat serta melindungi generasi masa hadapan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



