TANGKAP: Suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kunak untuk siasatan lanjut.
KUNAK: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai apabila merampas 288 karton rokok pelbagai jenama dalam serbuan di Kampung Pangkalan Nelayan, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, sepasukan anggota Platun Tiger, Batalion 22 PGA Kunak menjalankan Operasi Rondaan Jarak Jauh (RJJ) di sebuah rumah tidak bernombor di perkampungan atas air berkenaan.
Menurut kenyataan Facebook rasmi Batalion 22 PGA Kunak, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan berterusan di kawasan terbabit.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemukan 288 karton rokok disyaki tidak bercukai yang disembunyikan di ruang dalam bilik pakaian.
“Seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan di lokasi bersama barang rampasan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM105,360,” katanya.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
“Kejayaan operasi membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, khususnya di kawasan pesisir pantai.
“Rondaan dan risikan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan serta mengekang sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan tanggungjawab,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



