TAHAN: Salah sebuah kapal nelayan yang ditahan dalam operasi ini.
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua vesel nelayan dalam dua operasi berasingan selepas dikesan melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang di perairan Tawau.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali, berkata penahanan pertama berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Op Tiris di sekitar perairan negara.
Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah vesel nelayan asing berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Vesel berkenaan dipintas pada jarak 2.4 batu nautika selatan Tanjung Tinagat dan hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga Indonesia berusia 44 dan 48 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah selain tidak memiliki lesen pendaftaran bot.
“Siasatan awal mendapati bot terbabit menceroboh perairan Malaysia dan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya.
Ariffin berkata tindakan tegas diambil bagi memastikan sumber perikanan negara tidak dieksploitasi pihak luar.
“Dalam operasi berasingan pada hari sama, Kapal Maritim Malaysia KM Balung menahan sebuah vesel nelayan tempatan kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Bot itu dipintas pada kedudukan 2.8 batu nautika barat daya Batu Tinagat selepas dikesan melakukan pergerakan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap vesel berkenaan menemukan dua lagi lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai kru,” katanya.
Katanya, kedua-duanya mengemukakan dokumen perjalanan meragukan selain permit kerja sudah tamat tempoh.
“Juragan bot pula gagal mengemukakan dokumen perjalanan asal ketika diminta pegawai penguat kuasa.
“Keadaan itu menimbulkan syak pelanggaran syarat imigresen dan peraturan perikanan, kesemua empat individu bersama dua vesel dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan dan menggaji kru tanpa dokumen sah,” katanya.
Menurutnya, nilai rampasan termasuk hasil laut, dua vesel dan enjin dianggarkan melebihi RM121,000.
Ariffin menegaskan Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang khususnya aktiviti perikanan haram di perairan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
Menurutnya, rondaan dan pemantauan akan dipertingkat bagi mengekang pencerobohan vesel asing serta melindungi keselamatan perairan negara.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim atau aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



