JAWATANKUASA BAHARU MENILAI PROJEK KERJASAMA AWAM-SWASTA, KONSESI NEGERI

MESYUARAT: Hajiji mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri.

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri bagi memperkukuh mekanisme penilaian serta tadbir urus projek melibatkan Kerajaan Negeri dan sektor swasta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata jawatankuasa baharu itu menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang diwujudkan pada 1991.

Menurutnya, pendekatan baharu membolehkan penilaian dibuat merangkumi tiga kategori projek berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada aspek penswastaan.

“Jawatankuasa ini memberi ruang penilaian lebih menyeluruh terhadap projek kerjasama awam-swasta, termasuk projek konsesi dan pembangunan strategik negeri,” katanya.

Beliau berkata, semua cadangan projek kerjasama awam-swasta kini bermula di peringkat kementerian berkaitan sebelum dirujuk kepada jawatankuasa teknikal di bawah jawatankuasa baharu itu yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Katanya, hanya projek yang didapati berdaya maju akan dibawa ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan Setiausaha Negeri untuk penelitian lanjut.

“Selepas itu, projek berkenaan akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri bagi pertimbangan dan kelulusan muktamad,” katanya.

Hajiji berkata, proses berperingkat itu bertujuan memastikan ketepatan skop projek, khususnya yang melibatkan kepentingan Kerajaan Negeri dan sektor swasta seperti konsesi air, pembinaan jalan raya serta pembangunan perumahan.

Beliau menegaskan semua usaha sama melibatkan Kerajaan Negeri perlu melalui proses penilaian jawatankuasa berkenaan bagi menjamin ketelusan dan pulangan optimum kepada rakyat.

Ketua Menteri berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama Jabatan Ketua Menteri selepas pembentukan kerajaan baharu di Menara Kinabalu, hari ini.

Dalam mesyuarat sama, Hajiji berkata Kabinet Negeri turut meluluskan kriteria tambahan serta penambahbaikan terhadap inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun ini.

Beliau berkata, kos pembinaan bagi satu unit Rumah SMJ bertiang dinaikkan kepada RM95,000, manakala Rumah SMJ tidak bertiang berjumlah RM85,000 seunit.

Katanya, pelarasan kos itu dibuat bagi menampung peningkatan perbelanjaan termasuk pengangkutan bahan binaan, kerja penambakan tanah di tapak rumah serta pemasangan tiang elektrik dan paip air.

Dalam perkembangan lain, Hajiji memaklumkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan dilancarkan pada 30 Januari ini.

Pelancaran itu diadakan bersempena Majlis Amanat Ketua Menteri kepada penjawat awam negeri, warga syarikat berkaitan kerajaan serta badan berkanun.

Lebih 7,000 penjawat awam negeri dijangka menghadiri majlis berkenaan.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA PERINGKAT NEGERI DI SICC 17 FEBRUARI

JAFRY KOTA KINABALU: Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri akan diadakan pada 17 Februari ini bermula jam …

EDAR SERBUK EKSTASI, KETAMIN LELAKI DITAHAN JSJN SABAH

TUMPAS: Rampasan dan tangkapan dadah direkodkan JSJN Sabah. PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki mengedar dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin terbongkar …

PROGRAM JUALAN AGRO MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) PROGRAM JUALAN …