PERIKSA: Mohd Harris turut menjalankan pemeriksaan dalam operasi berkenaan.
TAWAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah merancang menubuhkan stesen penguatkuasa berhampiran kawasan Sapulut – Kalabakan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya, khususnya terhadap kenderaan berat yang melebihi had muatan.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata cadangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara, selain mengekang pelanggaran undang-undang oleh warga tempatan dan warga asing.
“Pada masa ini, kami sedang menilai beberapa lokasi dan berbincang dengan pihak pejabat daerah supaya pemeriksaan dapat dilaksanakan secara optimum.
“Selain Sapulut – Kalabakan, kami juga menilai keperluan membina stesen penguatkuasa di Kota Belud,” katanya.
Menurutnya, pembinaan stesen penguatkuasa yang dirancang akan membantu memastikan pemeriksaan kenderaan, terutamanya kenderaan berat, dijalankan dengan lebih berkesan dan selamat, sejajar dengan objektif Rancangan Malaysia ke-13 dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Sabah.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Bersama Agensi dan Pengarah JPJ Sabah malam tadi yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Katanya, operasi berkenaan telah memeriksa sebanyak 271 kenderaan dan mengeluarkan 22 notis saman iaitu tujuh oleh JPJ, 10 oleh PDRM dan empat oleh JIM. Tiada kenderaan disita sepanjang operasi itu.
“Kesalahan yang paling kerap dikesan ialah tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh, serta cukai jalan yang sudah luput.
“JPJ menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan lesen dan cukai jalan sentiasa sah dan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan,” katanya.
Mohd Harris berkata, tindakan terhadap kenderaan berat melebihi had muatan akan dipergiatkan selepas rekod tahun 2025 menunjukkan sebanyak 3,350 saman telah dikeluarkan, meningkat 283 peratus berbanding 2024.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha kenderaan berat, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Katanya, statistik penguatkuasaan JPJ Sabah sepanjang 2025, di mana sebanyak 576,000 kenderaan diperiksa, meningkat 43 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala 112,000 saman dikeluarkan, naik 14 peratus daripada 2024.
“Angka ini menunjukkan masih banyak lagi tindakan perlu diambil, bukan sahaja dari segi penguatkuasaan tetapi juga untuk membina kesedaran pengguna jalan raya.
“Kami mahu semua pihak memahami bahawa mematuhi undang-undang jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Mohd Harris berkata, JPJ Sabah komited untuk terus melaksanakan operasi bersasar secara berterusan, termasuk meningkatkan kerjasama dengan PDRM, JIM dan agensi penguatkuasa lain bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya di seluruh negeri sentiasa berada pada tahap tinggi.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



