USAHA DAPATKAN 45,000 KOMPUTER RIBA DAN INFRASTRUKTUR DIGITAL UNTUK SEKOLAH DI SABAH

MESYUARAT: James merakamkan gambar bersama selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di Negeri Sabah, di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembelajaran digital di sekolah melalui permohonan kelulusan sebanyak 45,000 unit komputer riba yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi kegunaan sekolah di seluruh negeri.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, permohonan itu melibatkan sekolah prasekolah, sekolah rendah serta sekolah menengah, dengan pendekatan penempatan komputer riba di sekolah dan pengurusan secara berpusat.

“Kaedah pengurusan melalui kemudahan seperti bilik sumber bertujuan memastikan penggunaan peralatan secara lebih berkesan, tersusun dan adil kepada semua pelajar.

“Selain komputer riba, MCMC turut menyokong pembelajaran digital melalui pembekalan papan pintar atau smart board untuk digunakan dalam bilik darjah sebagai medium pengajaran berasaskan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di Negeri Sabah, di sini.

James berkata, Sabah memiliki kira-kira 1,300 buah sekolah di seluruh negeri dan sasaran jangka panjang kementeriannya adalah untuk melengkapkan bilik darjah dengan papan pintar secara berperingkat.

Katanya, selari dengan pelaksanaan itu, guru-guru juga akan diberikan latihan berkaitan kaedah pengajaran digital supaya penggunaan teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, MCMC akan menyediakan sambungan internet satelit Starlink kepada 68 buah sekolah yang masih belum mempunyai capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil.

“Selain kemudahan internet, sistem tenaga solar turut dibekalkan kepada sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik bagi memastikan kelangsungan penggunaan peralatan digital.

“Kita mahu memastikan Sabah tidak ketinggalan dari segi pembangunan teknologi, termasuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan menyelaras dan merumuskan hasil perbincangan mesyuarat sebelum satu permohonan rasmi dikemukakan kepada Menteri MCMC untuk pertimbangan serta kelulusan.

Dalam pada itu, bercakap mengenai jumlah komputer riba yang dipohon, beliau menjelaskan keperluan sebanyak 45,000 unit dikenal pasti berdasarkan penilaian Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan bergantung kepada kelulusan pihak MCMC.

Tambahnya, anggaran kos keseluruhan inisiatif berkenaan masih dalam peringkat penilaian, namun beliau menyifatkannya sebagai sumbangan besar MCMC dalam menyokong pembangunan sektor pendidikan di Sabah.

Sementara itu, berhubung perjalanan pelajar Sabah ke Semenanjung Malaysia bagi melanjutkan pengajian, James berkata Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus membantu pelajar yang layak.

Katanya, cadangan berkaitan diskaun tambang penerbangan bersama syarikat penerbangan pula masih dalam perbincangan dan melibatkan agensi-agensi berkaitan.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …