Masyarakat hari ini perlu sedar bahawa melaporkan jenayah bukanlah suatu perkara yang memalukan keluarga. Namun realitinya, masih wujud pandangan kolot yang menganggap pendedahan jenayah sebagai aib yang perlu disembunyikan sehingga pesalah dibiarkan bebas di luar sana. Situasi ini kerap berlaku dalam kes-kes jenayah berat seperti rogol, keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.
Ramai mangsa memilih untuk berdiam diri demi menjaga air muka keluarga, malah ada yang takut membuat laporan kepada pihak polis kerana ingin memastikan keluarga mereka terus dihormati oleh masyarakat sekeliling. Keadaan ini menjadi lebih rumit apabila keluarga tersebut mempunyai nama, kedudukan atau jawatan tinggi dalam sesebuah jabatan. Sejak kecil, kita dididik untuk menjaga aib keluarga, namun mentaliti ini sering disalah tafsir sehingga menutup ruang keadilan buat mangsa.
Hakikatnya, pemikiran sebegini membunuh keberanian anak-anak dan mangsa untuk bersuara demi menegakkan kebenaran serta membela nasib mereka sendiri. Sebagai generasi baharu, kita perlu mendidik masyarakat agar berfikiran lebih terbuka dan memahami bahawa jenayah bukan aib sebaliknya satu kesalahan serius yang wajib dilaporkan dan diambil tindakan.
Tanggungjawab menjaga keluarga bukan bermaksud menutup jenayah yang berlaku. Kita semakin kerap melihat kes melibatkan bapa tiri merogol anak tiri, malah terdapat kes lebih tragis seperti “haruan makan anak” apabila ibu berdiam diri demi menjaga maruah keluarga. Jika rumah sudah tidak lagi selamat, di manakah anak-anak boleh berlindung?
Justeru itu, peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat penting dalam memberikan pendidikan dan kesedaran berterusan kepada masyarakat. PDRM perlu lebih kerap turun padang bagi menegaskan bahawa setiap jenayah wajib dilaporkan demi melindungi mangsa, menjaga kesejahteraan emosi mereka serta memastikan keadilan ditegakkan untuk kebaikan semua pihak.
Sumber:
Remaja mangsa rogol, bapa dibawa ke lokasi kejadian cari bukti baharu:https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2266069



