MAUT: Lokasi kedua-dua mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta.
SANDAKAN: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta bersama seorang remaja lelaki dipercayai kekasihnya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pelajar perempuan berusia 17 tahun ditemukan bersama lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci, manakala barangan berharga milik mangsa masih berada di dalam kenderaan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya untuk bertemu pelajar perempuan itu pada Jumaat lalu sebelum kedua-duanya gagal dihubungi.
“Bapa mangsa kemudian menemukan kereta miliknya di tempat letak kereta berkenaan dan menjumpai kedua-dua mangsa selepas membuka pintu menggunakan kunci pendua,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat di lokasi kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk proses bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



