RAMPAS: Ahmad menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas semasa sidang media di Menara Kastam Sabah.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan memperkukuh penguatkuasaan cukai di negeri ini susulan kejayaan pelbagai operasi sepanjang Oktober 2025 dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM420,468.08.
Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kejayaan itu membuktikan kesungguhan pihaknya dalam memastikan ketirisan hasil negara dapat dibendung, selain menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, JKDM Sabah merampas pelbagai barangan seludup melibatkan minuman keras dan kenderaan, dengan nilai barangan dirampas berjumlah RM176,328.33 manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan RM244,139.75.
“Rampasan minuman keras mencatatkan nilai RM64,328.33 dengan duti dan cukai sebanyak RM244,139.75, menjadikan jumlah keseluruhan RM308,468.08, manakala rampasan kenderaan pula bernilai RM112,000,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah di sini.
Selain kejayaan operasi penguatkuasaan, beliau berkata, JKDM Sabah turut mencatat kejayaan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas memenangi dua kes kegagalan membuat pembayaran cukai jualan dengan jumlah cukai dan penalti mencecah RM553,327.79.
“Kes pertama melibatkan rampasan minuman keras di Papar pada 29 Oktober kira-kira jam 3 petang apabila pasukan penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu menahan sebuah lori bonded di Pusingan U Jalan Pan Borneo, Kampung Tanaki–Kampung Kawang.
“Hasil pemeriksaan menemukan minuman keras jenis beer dianggarkan sebanyak 5,368.32 liter yang disyaki cuba diseludup dari Labuan, dengan nilai barangan kes RM20,345.93 dan duti serta cukai dianggarkan RM83,230.43,” katanya.
Dalam kes kedua beliau berkata, pasukan penguatkuasaan Kastam Keningau menemukan sebuah lori berkunci di kawasan parkir Terminal Feri Menumbok pada hari sama kira-kira jam 7.30 malam.
“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa minuman keras jenis beer dianggarkan sebanyak 5,376 liter dengan nilai RM26,188.80, manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan RM83,930.88.
“Kes ketiga pula berlaku sekitar jam 6.40 petang di kawasan berhampiran stesen minyak Petron Jalan Beaufort–Menumbok menghala ke Kuala Penyu, apabila pasukan sama menemui sebuah lagi lori berkunci membawa minuman keras jenis beer dianggarkan sebanyak 5,972 liter.
“Nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan RM17,793.60 dengan duti dan cukai terlibat berjumlah RM76,978.44,” katanya.
Ahmad berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang larangan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tinggi atau hukuman penjara.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 24 Julai memutuskan kes kegagalan membayar cukai jualan bagi 15 tempoh bercukai mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018.
“Mahkamah menjatuhkan denda RM15,000 dan mengarahkan tertuduh membayar keseluruhan cukai serta penalti berjumlah RM249,965.28 dalam tempoh sembilan bulan dengan hukuman penjara dikenakan sekiranya gagal mematuhi arahan mahkamah.
“Sementara itu, bagi kes kedua yang diputuskan pada 19 September 2025, mahkamah mendapati tertuduh gagal membayar cukai jualan bagi sembilan tempoh bercukai melibatkan jumlah RM141,689.49 termasuk penalti.
“Mahkamah menjatuhkan denda RM18,000 dan mengarahkan bayaran penuh cukai serta penalti dibuat dalam tempoh sembilan bulan bermula tarikh keputusan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, JKDM Sabah menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan lain.
“Orang awam boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan sepenuhnya,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



