JAFRY
KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan nilai RM13.7 bilion dan menyumbang 12.0 peratus kepada ekonomi negeri pada tahun 2024, menurut Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2024.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, industri itu mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai antara pemacu utama ekonomi Sabah.
Katanya, Keluaran Dalam Negeri Kasar Pelancongan Langsung (KDNKPL) Sabah turut merekodkan pertumbuhan 4.5 peratus atau RM5.2 bilion kepada KDNK negeri pada tahun 2024.
“Prestasi positif ini didorong oleh peningkatan aktiviti perdagangan runcit sebanyak 3.2 peratus berbanding 0.6 peratus pada tahun 2023, diikuti sektor perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman yang meningkat 3.5 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dari segi sumbangan subsektor, perdagangan runcit kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 47.3 peratus, manakala perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman menyumbang 29.7 peratus.
Selain itu, katanya, agensi pengembaraan, perkhidmatan tempahan, kebudayaan, sukan, rekreasi serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara menyumbang 13.5 peratus, manakala perkhidmatan pengangkutan penumpang dan jualan runcit bahan api kenderaan mencatatkan sumbangan 9.5 peratus.
Mengulas mengenai guna tenaga, Jafry berkata industri pelancongan Sabah menyediakan pekerjaan kepada 387,600 orang pada tahun 2024, meningkat 6.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Sektor perdagangan runcit menyumbang 44.5 peratus guna tenaga, manakala perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman menyumbang 41.6 peratus.
“Secara keseluruhan, kedua-dua sektor ini merangkumi 86.1 peratus guna tenaga industri pelancongan Sabah,” katanya.
Jafry berkata, guna tenaga dalam industri pelancongan menyumbang 22.6 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di Sabah, iaitu hampir satu perempat tenaga kerja negeri.
ASPW Sabah 2024 diterbitkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan merupakan penerbitan kali ketiga bagi Kerajaan Negeri Sabah.
Jafry berkata, data yang diterbitkan bersifat inklusif, berintegriti dan komprehensif, sekali gus memberi gambaran jelas kepada pemain industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengusaha penginapan, restoran, pengangkutan serta peruncitan dalam merancang perniagaan mereka.
“Pada masa sama, data ini amat penting kepada Kerajaan Negeri sebagai rujukan utama dalam menilai prestasi pelancongan Sabah dan membentuk dasar bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



