“MANIS ITU MENIPU: BILA GULA MEROSAKKAN PENGLIHATAN ANDA”

Retinopati diabetik merupakan penyakit mata yang terjadi apabila paras gula dalam darah kekal tinggi untuk tempoh masa yang lama sehingga merosakkan salur darah halus pada retina. Retina adalah bahagian mata yang menerima cahaya dan menghantar isyarat penglihatan ke otak. Ia adalah antara punca utama kebutaan yang sebenarnya boleh dicegah di kalangan penghidap diabetes. Apa yang perlu difahami ialah pengesanan awal dan kawalan gula yang baik mampu mengurangkan risiko kehilangan penglihatan secara signifikan.

Pada peringkat awal, retinopati diabetik lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala. Justeru itu, pemeriksaan mata secara berkala amat diperlukan. Apabila keadaan semakin memburuk, salur darah yang rosak boleh bocor atau tersumbat. Ini boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur, muncul tompokan gelap atau ‘floaters’, serta kesukaran melihat pada waktu malam. Sesetengah pesakit turut mengalami edema makula diabetik, iaitu bengkak pada bahagian tengah retina yang menjejaskan keupayaan melihat dengan jelas dan terperinci.

Sesiapa sahaja yang menghidap diabetes sama ada jenis 1 atau jenis 2 boleh mengalami masalah ini. Risiko yang meningkatkan retinopati adalah kawalan gula darah yang lemah, tempoh menghidap diabetes yang lama, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, masalah buah pinggang, kehamilan bagi wanita diabetes, serta tabiat merokok. Usaha menangani faktor-faktor risiko ini amat penting bagi memastikan kesihatan mata dan tubuh kekal terpelihara.

Rawatan bergantung kepada tahap penyakit. Pada peringkat awal, ia mungkin hanya memerlukan pemantauan rapi serta kawalan gula, tekanan darah dan kolesterol yang lebih baik. Pada peringkat lebih lanjut, rawatan seperti suntikan anti-VEGF, terapi laser atau pembedahan mata mungkin diperlukan.

Dengan penjagaan mata yang berterusan serta pengurusan diabetes yang teratur, kebanyakan pesakit mampu mengekalkan penglihatan yang stabil sepanjang hayat. Langkah ini bukan sahaja mencegah komplikasi serius, malah membantu mengekalkan kualiti hidup yang baik.

Sumber: Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Saringan Retinopati Diabetik, KKM Malaysia

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …