PRIHATIN: Nizam ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di PPS.
TAWAU: Mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 dibenarkan membina semula rumah mereka secara teratur bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan insiden sama berulang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kebenaran itu bagi memberikan kehidupan lebih selesa kepada penduduk yang terlibat.
Katanya, beliau bersama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, menziarahi mangsa dan menyerahkan bantuan tunai kepada 23 ketua isi rumah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Balung, semalam.
“Bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban mereka yang menghadapi situasi sukar akibat kehilangan tempat tinggal.
“Sebanyak 20 buah rumah terlibat dalam kejadian ini membabitkan 117 mangsa. Kita berharap bantuan tunai ini dapat sedikit sebanyak meringankan tekanan mereka pada waktu genting ini,” katanya.
Beliau menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati dalam pembinaan rumah, memastikan struktur rumah tersusun dan mendapat keizinan tuan tanah.
Selain itu, katanya, semua pemilik rumah dinasihatkan supaya tidak membuat penyambungan elektrik secara haram kerana ia boleh menimbulkan risiko kebakaran.
Menurutnya, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada masalah penyambungan elektrik di sebuah rumah yang ketika itu kosong kerana penghuni keluar bekerja.
“Kebakaran kemudian merebak ke rumah-rumah berhampiran, menyebabkan kerugian besar kepada penduduk tempatan,” katanya.
Nizam berkata, mangsa-mangsa kebakaran ini akan dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan lanjut daripada kerajaan melalui Jawatankuasa Bencana Negeri.
“Kita juga membenarkan mereka membina rumah semula, tetapi dengan susunan yang lebih teratur bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jangka panjang,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



