ERIKSA: Anggota Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan ke atas vesel berkenaan.
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel pukat tunda yang beroperasi dalam zon larangan perikanan di perairan Tabawan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata penahanan dilakukan kira-kira pukul 2.10 petang, pada kedudukan 0.9 batu nautika timur laut Pulau Batik oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel itu dikendalikan tiga warga Indonesia berusia 30 hingga 46 tahun serta seorang kru tempatan berbangsa Bajau berusia 35 tahun.
“Turut ditemukan hasil tangkapan ikan dianggarkan 800 kilogram dan semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985, kerana menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, iaitu kawasan yang tidak dibenarkan untuk operasi perikanan komersial.
RAMPAS: Vesel nelayan berkenaan dirampas untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dzulfikhar berkata peraturan zon operasi diwujudkan bagi mengelakkan eksploitasi kawasan pantai serta memastikan aktiviti penangkapan ikan dijalankan secara bertanggungjawab.
“Maritim Malaysia akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pengusaha bot yang masih berdegil melanggar syarat lesen, terutama di kawasan larangan,” katanya.
Menurutnya, semua vesel, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



