Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu kini bersiap penuh menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) selepas berjaya menyiapkan kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh ke atas rangkaian stesen telemetri hidrologi di seluruh negeri.
Menurut Pengarah JPS Terengganu, Osman Abdullah, inisiatif proaktif ini dilaksanakan bagi memastikan semua sistem pemantauan hujan, aras sungai dan siren amaran awal banjir berada pada tahap prestasi terbaik serta berfungsi tanpa gangguan.
Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan itu melibatkan 93 stesen hujan, 54 lokasi stesen aras sungai, stesen kamera web (10 lokasi) dan siren amaran awal banjir (11 lokasi). Langkah tersebut diambil bagi memastikan semua peralatan di semua stesen berfungsi dengan baik bagi menyalurkan data tepat dan masa nyata (real time) ke pusat kawalan utama.
Maklumat yang dikumpulkan daripada rangkaian sistem ini seterusnya menjadi input penting kepada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABAN) untuk membuat ramalan yang lebih tepat serta mengeluarkan amaran awal banjir dengan lebih berkesan apabila berlaku hujan lebat berterusan.
Antara komponen utama yang diselenggara termasuk peralatan pengesan hujan dan paras air, kalibrasi serta ujian sistem telemetri, selain kerja pembersihan kawasan stesen dan pembaikan infrastruktur kecil.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan MTL akan berterusan sehingga Mac tahun depan, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Sumber: BERNAMA



