Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan mengedar rokok seludup dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM319,228.80 dalam satu operasi khas dikenali sebagai Ops Macan Legit 2. Menurut Pengarah JKDM Terengganu, Hasbollah Din, berkata rampasan tersebut dilakukan selepas serbuan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Dusun Nyior, Nyior Mawar pada 6 Ogos lalu.
Hasil intipan selama 40 minit oleh Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kemaman mendapati tiada sebarang pergerakan di kawasan berkenaan sebelum pemeriksaan dilakukan. Pasukan operasi kemudiannya menemukan 352,800 batang rokok putih seludup pelbagai jenama bernilai RM78,528, dengan jumlah duti serta cukai dianggarkan RM240,700.80.
Kenderaan tersebut bersama muatan rokok telah disita untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Selain itu, rokok seludup itu dipercayai dibawa masuk dari luar Terengganu untuk diedarkan di pasaran tempatan, dengan modus operandi menyimpan rokok dalam kenderaan mewah bagi mengaburi pihak berkuasa. Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik MPV terbabit yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Sumber: Bernama



