SABAH PERKUKUH PENGUASAAN BAHASA KEBANGSAAN – HAJIJI

HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus memberi keutamaan terhadap penguasaan bahasa kebangsaan sebagai tonggak penyatuan rakyat dan pembentukan jati diri bangsa Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan komited memperkukuh ekosistem bahasa, sastera dan penerbitan di negeri ini melalui pelbagai bentuk kolaborasi strategik bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, usaha itu termasuk memperluas penerbitan ilmiah, pengembangan bakat penulis muda serta penyelidikan bahasa dan dialek tempatan Sabah.

“Saya berharap sinergi ini akan terus diperkukuh supaya Sabah menjadi antara negeri terkehadapan dalam pemupukan budaya ilmu dan penggunaan bahasa kebangsaan yang cemerlang,” katanya pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.

Menurutnya, penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan wajar diteruskan sebagai platform menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan, di samping memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Pelbagai usaha dibuat termasuk program ini bukan sahaja untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi penting tetapi juga bahasa ilmu, budaya dan perpaduan.

“Ini sudah tentu membantu memastikan rakyat pelbagai bangsa terus menguasai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program sempena Bulan Bahasa Kebangsaan bukan sekadar mempersegar kecintaan terhadap bahasa rasmi negara, malah memperkukuh perpaduan bangsa serta menyerlahkan fungsi bahasa dan sastera sebagai tonggak pembinaan tamadun negara.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Jiwa Bangsa bersempena kempen Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat negeri.

“Usaha sebegini membuktikan bahawa bahasa Melayu terus hidup dan subur dalam jiwa rakyat Sabah. Ia menjadi simbol perpaduan, keilmuan dan kemajuan kita sebagai sebuah bangsa,” katanya.

Hajiji turut yakin dengan kerjasama erat antara DBP, Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan negeri, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan terus diperkukuh selaras aspirasi Malaysia Madani.

“Generasi muda perlu terus mencintai bahasa kebangsaan di samping menguasai pelbagai bahasa lain bagi menghadapi cabaran global,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …