BUDAYA SUKAN ‘SUBUR’ DI MELAKA

Merlimau – Melaka berjaya mencatat Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) membanggakan apabila merekodkan skor indeks 54.9, sekali gus mengatasi beberapa negeri besar seperti Sarawak dan Selangor.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu bukan sahaja wajar dibanggakan, malah turut membuktikan budaya bersukan semakin subur di bumi Melaka.

Jelas beliau, ia secara tidak langsung selari dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan di semua peringkat.

“Lebih membanggakan, kecemerlangan Melaka dalam arena sukan turut diserikan oleh pencapaian cemerlang anak-anak watan di persada kebangsaan mahupun pentas dunia, antaranya saudari Toh Ee Wei yang merangkul emas dunia dalam acara beregu campuran badminton.

“Tidak cukup dengan itu, empat atlet muda muay thai Melaka juga membawa pulang enam pingat emas di Kejohanan Dunia Belia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muaythai (IFMA) 2025 di Abu Dhabi

“Selain itu, saudari Maria Melisa Mohd Mohtiar turut mengharumkan nama Melaka apabila berjaya merangkul tiga pingat emas dalam acara olahraga di Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Sarawak 2025 dan begitu juga atlet-atlet Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Melaka meraih dua pingat emas di Kejohanan LiSOKU Kebangsaan pada September baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Dataran Orang Kampung, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri turut menzahirkan komitmen tinggi dalam terus memperkukuh agenda pembangunan sukan melalui pelbagai pendekatan strategik termasuk penambahbaikan prasarana, penganjuran program berimpak tinggi, serta memperluas penyertaan masyarakat dari semua lapisan, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Harapan saya agar semangat kesukanan yang dizahirkan tidak terhenti di sini sahaja. Sukan mesti dijadikan landasan pembinaan jati diri dan perpaduan, serta wadah untuk melahirkan masyarakat yang berdisiplin, berdaya saing dan sihat tubuh badan seiring dengan visi menjadikan Melaka negeri maju, sejahtera dan bahagia rakyatnya,” tambah beliau.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …