7 Oktober 2025 : MKN Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Program Pengukuhan Dan Pemantapan Arahan Keselamatan Peringkat Negeri Sembilan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kompetensi rakan strategik agensi keselamatan, agensi menyelamat, agensi bantuan kecemasan, agensi kebajikan di Negeri Sembilan.
Sesi perkongsian ilmu ini amat bertepatan dengan Doktrin Keselamatan Menyeluruh atau Comprehensive Security (COMSEC) di mana tonggak kepada pelaksanaan strategi keselamatan seharusnya dipikul bersama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif. Konsep ini diperkenalkan sebagai suatu produk keselamatan bersesuaian dengan persekitaran semasa keselamatan negara yang semakin kompleks merentas pelbagai sektor, di setiap peringkat pentadbiran Kerajaan. Konsep keselamatan menyeluruh juga berteraskan kepada 9 Nilai Teras Dasar sebagaimana yang telah digariskan di dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.
Selaku sekretariat kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dan Jawatankuasa Perancang Gerakan Negeri (JPGN), MKN Negeri Sembilan meneruskan program pada tahun ini dengan meluaskan skop perkongsian kepada arahan-arahan MKN yang lain iaitu Arahan No. 18 MKN: Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan (Semakan Semula 2023). Arahan No. 21 MKN: Pengurusan dan Pengendalian Situasi Ancaman Ketenteraman Awam dan Arahan No. 23 MKN: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023).
Objektif penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan tahap kompetensi dan koordinasi pasukan keselamatan, pasukan menyelamat, pasukan bantuan kecemasan dan kebajikan dalam aspek pengurusan krisis dan ancaman ketenteraman awam; menjelaskan peranan dan tanggungjawab antara agensi semasa berlakunya situasi krisis dan ancaman ketenteraman awam, memperbaiki penyelarasan organisasi dan komunikasi di antara agensi semasa berlakunya situasi krisis dan ancaman ketenteraman awam, dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kemampuan Kerajaan dalam menangani sebarang krisis/insiden yang melibatkan ancaman keselamatan negara.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 115 orang pegawai dan kakitangan pelbagai agensi keselamatan, agensi menyelamat yang merupakan agensi utama di bawah JKKN, JKKD, agensi penyelamat dan agensi bantuan kecemasan yang terkandung dalam arahan-arahan MKN.




