RAMPAS: Semua 54 tong gas yang dirampas dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 54 tong gas petroleum cecair (LPG) gagal selepas bot kargo yang membawa muatan berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan pesisir pantai Batu 3, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika anggota Maritim sedang menjalankan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di perairan berkenaan.
“Pasukan peronda mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo yang baru keluar dari kawasan pesisir pantai Batu 3 menuju ke sempadan perairan.
“Apabila didekati, juragan bot bertindak berpatah balik dengan laju ke arah pantai sebelum melarikan diri dan meninggalkan bot bersama muatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan 54 tong gas LPG berisi tanpa sebarang dokumen atau permit sah.
“Tiada individu ditemui di kawasan sekitar selepas pemeriksaan dijalankan.
“Bot bersama muatan dan enjin ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM52,000.
Ariffin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang sindiket penyeludupan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan keluar masuk barangan kawalan ke negara jiran melalui jeti tidak sah.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan serta pemantauan di kawasan ‘hotspot’ termasuk jeti-jeti haram yang sering digunakan sindiket penyeludupan.
“Kami juga menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah maritim ke talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



