Majikan dan pekerja syarikat di sektor berisiko tinggi diminta melaksanakan pendekatan dikenali sebagai Pengenalpastian Bahaya, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) secara konsisten supaya situasi bahaya seperti kebocoran gas dapat dikenal pasti lebih awal.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen, berkata melalui pendekatan HIRARC, punca dan risiko kemalangan dapat dinilai dengan tepat supaya langkah kawalan boleh dilaksanakan termasuk menggunakan teknologi kejuruteraan terkini membabitkan kecerdasan buatan (AI).
Insiden kebocoran paip gas butana di Kerteh pada Sabtu lalu, perlu menjadi peringatan serius kepada semua pihak mengenai kepentingan aspek latihan supaya tindakan pencegahan kemalangan secara menyeluruh dapat dilaksanakan di tempat kerja.
Majikan dalam sektor berisiko tinggi seperti petroleum dan gas perlu memastikan pegawai dan kakitangan mereka diberikan latihan mencukupi supaya mampu melaksanakan penilaian risiko yang sistematik.
Adalah amat penting bagi semua pihak untuk mengambil langkah terbaik dan tepat bagi memastikan keselamatan pekerja dan penduduk setempat. Pekerja yang terlatih akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang sesuai serta segera melaporkan dan mengambil langkah tepat untuk mengelak kemalangan di tempat kerja serta melindungi orang awam.
NIOSH sebagai pusat kecemerlangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) negara, mempunyai kepakaran, modul latihan khusus, fasiliti simulasi kecemasan serta 13 makmal bertaraf antarabangsa yang berupaya membantu pihak industri meningkatkan tahap keselamatan pekerja dan infrastruktur berisiko tinggi di samping berperanan dalam melatih tenaga kerja dan membangunkan penyelidikan teknikal, malah kami juga bersedia membantu agensi berkaitan menjalankan siasatan serta merangka strategi kawalan yang lebih berkesan untuk semua industry.
Sumber : Berita Harian Online



