KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan senjata api melalui sempadan negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata perkara itu dimaklumkan hasil mesyuarat bersama Polis Thailand Region 9 yang berkongsi maklumat risikan berhubung sindiket terbabit.
Menurut beliau, hasil siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati terdapat beberapa rakyat Malaysia disyaki terbabit dengan penyeludupan senjata api dan dipercayai ada yang berjaya memasuki negara ini.
“Usaha mengesannya sedang dijalankan, namun siasatan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Cawangan Khas.
“Di peringkat KDNKA, kita mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan, termasuk sepanjang laluan utama dan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) selain mengetatkan sekatan bagi mengesan ancaman penyeludupan senjata api.
“Kita menerima maklumat risikan daripada pihak polis di Sadao berkaitan rampasan senjata api jenis M4 yang cuba diseludup kira-kira dua minggu lalu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 46 tahun ditahan polis di Sadao, Songkhla, Thailand pada 29 Ogos lalu selepas pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Kia berdaftar di Malaysia menemukan dua laras raifal M4 bersama 300 butir peluru kaliber 5.56mm, tujuh kelopak peluru, 100 butir peluru kaliber .45mm dan 50 butir peluru kaliber 9mm.
Siasatan awal mendapati suspek diupah untuk membawa masuk senjata berkenaan ke Malaysia, manakala beberapa individu lain daripada sindiket sama dipercayai masih bebas dan sedang diburu pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Mohamad Suzrin berkata mesyuarat dengan Polis Thailand itu bagi melihat bagaimana kolaborasi antara PGA dengan pihak Polis Thailand dalam perkongsian maklumat risikan serta operasi di sempadan, khususnya membabitkan Briged Utara dan Briged Tenggara.
“Kerjasama ini masih berjalan, dan kita bertukar-tukar maklumat bagaimana perkara itu boleh berlaku serta langkah pencegahan yang perlu diambil.
“PGA terus berkomunikasi dengan sumber risikan untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di kawasan sempadan,” katanya.



