Pihak polis sudah mengarahkan unit kereta peronda (MPV) membuat rondaan tanpa henti selepas jam 12 tengah malam dan memberi tumpuan di kawasan kerap berlaku kecurian penutup lubang mainhole.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga turut membantu membuat pemantauan. Bagaimanapun, kekuatan pihaknya terhad dan memohon pertolongan polis bantuan daripada syarikat utiliti untuk sama-sama cegah jenayah.
Media sebelum ini melaporkan isu kecurian kabel bawah tanah oleh pihak tidak bertanggungjawab di beberapa kawasan di daerah ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat.
Bukan masalah kerugian akibat kecurian berkenaan yang menjadi tumpuan penduduk, tetapi lubang mainhole yang dibiarkan terdedah selepas mencuri kabel umpama perangkap samar menanti mangsa. Lubang mainhole ini biasanya dibiarkan terbuka oleh pencuri kabel sehingga menyebabkan risiko kepada orang ramai.
Harga tembaga yang terdapat pada kabel utiliti mencecah RM40 sekilogram dipercayai menjadi punca kepada kecurian kabel di daerah ini sejak tahun lalu. Tahun lalu sebanyak 60 kes curi kabel dilaporkan manakala setakat Julai tahun ini sebanyak 20 laporan diterima di daerah Seremban. Kes curi kabel ini membabitkan dua situasi iaitu kabel bawah tanah dan kabel pada tiang atau pencawang. Bagi kes curi kabel bawah ini, hanya 13 kes dilaporkan dengan kerugian dianggarkan RM54,400 pada 2024. Bagi tahun 2025, hanya satu kes dilaporkan dan kami berjaya menahan dua suspek dalam kejadian ini.
Apa yang menjadi masalah kepada penduduk apabila membabitkan kes kecurian kabel bawah tanah ini, penutup mainhole dibiarkan terbuka selepas kabel dicuri. Ini yang dibimbangkan kerana ia mendedahkan bahaya kepada orang ramai. Mainhole ini bukan sahaja berada di laluan pejalan kaki, ia turut ada di jalan raya dan kawasan perumahan.
Turut menjadi isu kerana penutup lubang itu berat dan memerlukan peralatan khas untuk menutupnya menyebabkan orang awam perlu menunggu bantuan daripada pihak berkuasa. Modus operandi mereka adalah menjalankan kegiatan curi kabel pada waktu tengah malam hingga ke awal pagi. Kebiasaannya antara dua ke lima individu terbabit. Mereka membuka satu penutup, kemudian buka satu mainhole lain dan memotong kabel sebelum menariknya keluar. Kemudian kabel ini akan dipotong ke saiz yang lebih pendek bagi mudah untuk dimuatkan di dalam kereta atau pacuan empat roda.
Sumber: Harian Metro



