Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi (telco) giat menambah baik capaian internet di kawasan pelancongan bagi memastikan kelancaran urusan pembayaran tanpa tunai.
Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli, bengkel penyelarasan telah diadakan bersama agensi kerajaan, telco dan jabatan berkaitan bagi membincangkan langkah memperkasa liputan internet menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Capaian internet berkelajuan tinggi amat penting, khususnya bagi pelancong dan peniaga yang kini banyak menggunakan sistem pembayaran dalam talian seperti QR Pay. Kita tidak mahu capaian internet yang lemah menjejaskan pengalaman pelancong dan juga operasi peniaga tempatan.
Beberapa menara telekomunikasi baharu sedang dibangunkan di lokasi dikenal pasti bagi mengatasi masalah tersebut. Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti 27 lokasi perkampungan Orang Asli yang sedang dinaik taraf di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela), sekali gus berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan. Beliau berharap agar semua jabatan dan agensi terus menyalurkan laporan kawasan yang bermasalah kepada SKMM bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak telco.
Beliau menyasarkan isu capaian internet di seluruh Negeri Sembilan dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum bermulanya Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan hanya berbaki 0.08 peratus kawasan berpenduduk yang masih belum menerima liputan internet sepenuhnya, kebanyakannya melibatkan rumah yang terletak di sebalik bukit atau lokasi terpencil.
Sumber: Sinar Harian



