Apa maknanya merdeka kalau tak pernah merasa dijajah?
Soalan ini mungkin kedengaran sinis. Tetapi ia sebenarnya menyentuh satu realiti yang semakin sukar dinafikan. Generasi hari ini lahir dalam dunia yang telah merdeka. Bebas bergerak, bebas bersuara, bebas memilih. Maka tidak hairanlah jika semangat kemerdekaan yang suatu masa dahulu menjadi nadi perjuangan generasi terdahulu, hari ini dirasakan sebagai sesuatu yang jauh dan ‘asing’.
Kita tidak menyalahkan mereka yang lahir selepas 1957 kerana tidak melalui jerih perih zaman penjajahan. Tetapi menjadi suatu kerugian besar apabila kebebasan yang diwarisi itu tidak dihayati sebagai amanah. Sebaliknya dirai sebagai ‘hak mutlak’ yang tidak perlu dipertahankan. Apabila rasa memiliki terhadap negara mula luntur, maka mudahlah semangat mempertahankannya juga terhakis. Perlahan-lahan, tanpa kita sedar.
Merdeka Tanpa Mengerti Luka
Generasi terdahulu hidup dalam zaman serba kekurangan. Dihimpit darurat, berdepan ancaman komunis dan membina negara daripada tapak yang hampir kosong. Nilai ‘merdeka’ bagi mereka bukan sekadar tanggal 31 Ogos yang diraikan saban tahun. Tetapi sebuah noktah darah dan air mata yang menandakan bermulanya satu perjuangan baru. Perjuangan membina negara sendiri. Dengan acuan sendiri.
Sebaliknya hari ini, generasi muda lahir dalam dunia yang serba ada. Ekonomi terbuka, akses maklumat tanpa had, pendidikan percuma, subsidi, peluang pekerjaan, kebebasan bersuara. Segalanya seolah-olah datang dengan mudah. Dan dalam kemudahan itulah, lahir satu rasa leka dan jauh.
Sembang-sembang dengan mereka yang pernah melalui zaman getir sebelum merdeka, sering disulami dengan satu keluhan yang sama.
“Budak-budak sekarang dah tak rasa kemerdekaan tu. Depa anggap semuanya memang patut dapat.”
Normalisasi Sinisme & Lupa Sejarah
Kita tidak menolak kematangan anak muda untuk berfikir secara kritikal. Malah, demokrasi yang sihat memang memerlukan suara-suara dari pelbagai arah. Namun yang membimbangkan ialah apabila sikap memperlekeh menjadi kebiasaan dan rasa cinta terhadap negara dianggap ‘cringe’ atau klise.
Isu-isu sensitif seperti 3R (agama, kaum, raja) dan peristiwa 13 Mei sering dijadikan bahan debat kosong di media sosial. Generasi yang tidak pernah melalui detik getir itu bercakap seolah-olah peristiwa tersebut hanya cebisan sejarah yang boleh diputar semula bila-bila masa. Sedangkan bagi mereka yang mengalaminya, itu adalah trauma yang tidak wajar dibuka sesuka hati. Apatah lagi dijadikan modal provokasi.
Apabila rasa memiliki itu hilang, kita tidak lagi melihat diri sebagai sebahagian daripada negara ini. Kita menjadi ‘penonton’ yang hanya tahu menuding jari. Bukannya ‘penjaga’ yang prihatin terhadap setiap retak yang berlaku.
Negara Ini Bukan Sekadar Milik, Tapi Amanah
Patriotisme bukan bermakna kita tidak boleh mengkritik. Tetapi biarlah kritikan itu lahir daripada rasa cinta, bukan benci. Biarlah ia dibina atas kesedaran untuk membaiki, bukan untuk merobohkan.
Kita tidak perlukan semua orang menjadi wira. Cukup sekadar menjadi warga yang sedar bahawa setiap ucapan, tindakan dan keputusan kita memberi kesan kepada wajah negara ini. Cukup sekadar ada rasa ingin menjaga, bukan sekadar menerima.
Kerana tanah ini bukan sekadar tempat tumpah darah. Ia adalah tempat anak-anak kita membesar, tempat cerita kita ditulis, tempat masa depan dibentuk.
Akhir kata, peganglah. Jangan lepas.
Merdeka bukan kisah semalam. Ia adalah perjalanan yang masih berjalan. Ia bukan sekadar warisan tetapi juga tanggungjawab.
Dan dalam dunia yang semakin hingar, penuh dengan suara-suara yang cuba memecah dan memisah, kita perlu kembali bertanya pada diri.
masih adakah rasa memiliki itu dalam hati kita?
Jika ya, maka genggamlah ia. Kerana bila rasa memiliki itu hilang, mudah benar kita melepas pegang. Dan bila pegangan itu terlepas, tidak semua yang jatuh akan dapat diselamatkan semula.
Disediakan oleh:
Che Nur Syafiqkah



