MUSUH SENYAP DUNIA PROFESIONAL

Di sebalik suasana pejabat yang kelihatan harmoni dengan senyuman profesional, bilik berhawa dingin dan struktur kerja yang tersusun, wujud satu realiti gelap yang sering disembunyikan daripada pandangan — buli di tempat kerja. Fenomena ini tidak semestinya berlaku dalam bentuk serangan fizikal atau jeritan yang lantang, sebaliknya perbuatan buli kerap hadir dalam bentuk halus dan psikologi yang sukar dikenal pasti tetapi amat berbahaya. Dalam banyak keadaan, perbuatan ini berselindung di sebalik bahasa yang sopan tetapi menyindir, arahan yang memalukan atau pengabaian sistematik terhadap seseorang pekerja.

Realiti Statistik yang Membimbangkan

Kajian oleh Non-Septor dalam Jurnal Psikologi Malaysia mendedahkan bahawa 80 peratus daripada responden mengaku pernah berdepan dengan perlakuan negatif di tempat kerja, manakala 15 peratus daripadanya diklasifikasikan sebagai mangsa buli yang menerima tekanan secara mingguan. Dalam konteks tempatan, laporan berkaitan doktor pelatih di hospital kerajaan menunjukkan bagaimana tekanan kerja yang melampau dan tidak berperikemanusiaan telah menjadi kebiasaan, seolah-olah penderitaan tersebut adalah sebahagian daripada proses ‘pendewasaan’ kerjaya. Di peringkat global, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan bahawa hampir satu daripada empat pekerja pernah menjadi mangsa keganasan atau gangguan di tempat kerja — fizikal, psikologi atau seksual. Lebih membimbangkan, sekitar 60 hingga 75 peratus kes tidak pernah dilaporkan kerana kebimbangan terhadap tindakan balas atau kurang keyakinan terhadap sistem dalaman organisasi.

Buli Halus Tanpa Disedari Tetapi Dinormalisasi

Salah satu bentuk buli yang paling sukar dikesan ialah yang berlaku secara tidak langsung dan berulang. Perbuatan buli mungkin hadir dalam bentuk keputusan sepihak, komunikasi yang mengelirukan, pengabaian pandangan individu atau penyampaian tugasan dengan cara yang tidak berdiplomasi. Tanpa disedari, gaya pengurusan, komunikasi atau interaksi harian boleh mencetuskan tekanan yang memberi kesan kepada kesejahteraan psikologi seseorang. Bukan sahaja produktiviti terjejas, malah hal ini akan mewujudkan suasana kerja yang mengekang idea dan pembaharuan. Apabila budaya ini dibiarkan berlarutan, keadaan ini akan menjadi normalisasi yang berbahaya dalam budaya organisasi.

Namun begitu, penting untuk difahami bahawa perilaku buli di tempat kerja tidak semestinya hanya datang daripada golongan atasan. Dalam sesetengah situasi, pekerja bawahan juga boleh memanipulasi sifat baik dan toleransi penyelia mereka. Apabila sikap bertimbang rasa dan kemanusiaan dianggap sebagai kelemahan, ada individu yang mula culas, enggan mematuhi arahan atau mengabaikan tanggungjawab mereka. Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan emosi kepada penyelia yang terpaksa menanggung beban kerja berlebihan, malah hal ini merupakan satu bentuk ketidakadilan yang menjejaskan keharmonian pasukan secara keseluruhan. Dalam erti kata lain, buli tidak semestinya berlaku secara lantang atau mengugut, perbuatan buli juga boleh hadir dalam bentuk penyalahgunaan kepercayaan dan sikap sambil lewa yang berterusan.

Gosip Pejabat: Racun Sosial yang Diremehkan

Dalam masa yang sama, budaya gosip dalam kalangan rakan sekerja turut menyumbang kepada suasana kerja yang toksik. Apa yang dianggap sekadar ‘sembang ringan’ berpotensi menjadi punca penyebaran maklumat tidak benar dan penilaian tidak adil terhadap individu. Hal ini boleh membawa kepada pengasingan sosial, penurunan keyakinan diri serta tekanan emosi yang serius. Mangsa akan mula hadir bekerja dalam keadaan terpaksa, bukan kerana komitmen kepada tanggungjawab tetapi kerana takut menjadi bahan bualan atau kecaman.

Kesan Domino yang Tidak Boleh Diabaikan

Kesan jangka panjang daripada buli di tempat kerja tidak hanya dirasai oleh individu, tetapi turut memberi impak kepada organisasi secara keseluruhan. Ketegangan yang berlaku boleh menjejaskan hubungan pasukan, menurunkan moral dan meningkatkan kadar pertukaran staf. Dalam jangka masa panjang, ia menjejaskan prestasi organisasi serta menambah kos dari segi kehilangan tenaga kerja mahir dan reputasi korporat.

Apa yang Boleh Dilakukan?

Budaya kerja yang sihat tidak lahir secara spontan, tetapi perlu dibina secara sedar dan sistematik. Semua pihak dalam organisasi, tanpa mengira jawatan atau peranan, harus bersedia memupuk suasana kerja yang saling menghormati dan inklusif. Latihan berkaitan komunikasi beretika, empati dan kesedaran tentang buli perlu dijadikan sebahagian daripada pendekatan pengurusan. Dalam masa yang sama, saluran aduan yang telus dan boleh dipercayai mesti disediakan agar setiap pekerja yakin bahawa suara mereka akan didengar dan dilindungi. Budaya menghargai pencapaian, keterbukaan dalam perbincangan dan pengurangan politik pejabat juga perlu diperkuatkan dari masa ke masa.

Penutup: Tanggungjawab Bersama

Buli di tempat kerja bukanlah isu remeh yang boleh diketepikan. Hal ini adalah cabaran serius yang memerlukan kerjasama dan kesedaran kolektif. Setiap individu dalam organisasi memegang peranan penting dalam membina persekitaran kerja yang selamat, hormat dan bermaruah.

Kekuatan sebenar sesebuah organisasi bukan hanya terletak pada kemampuannya mencapai sasaran, tetapi pada nilai kemanusiaan yang ditegakkan dan dilindungi dalam setiap interaksi harian di tempat kerja.

Disediakan oleh:

Nurul Hashikin Abd Rahman

Artikel/Berita Terkini

MTL: BOMBA MELAKA KENAL PASTI 106 LOKASI DI MELAKA BERISIKO BANJIR

Bukit Katil – Sebanyak 106 lokasi di seluruh negeri Melaka dikenal pasti berisiko banjir menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) …

JKDM TERENGGANU GAGALKAN CUBAAN EDAR ROKOK SELUDUP

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan mengedar rokok seludup dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan …

MELAKA ELAK ATLET ‘DICURI’ MENJELANG SUKMA XXII

Bandaraya Melaka – Seramai 790 atlet sudah didaftar dalam senarai panjang untuk mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor …