
Di negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, kebebasan bersuara adalah salah satu hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ia meliputi hak untuk menyatakan pendapat, berbeza pandangan dan berhimpun secara aman. Hak ini menjadi lambang kematangan politik sesebuah negara dan tanda bahawa suara rakyat dihargai.
Perhimpunan yang berlangsung baru-baru ini di ibu negara merupakan manifestasi kepada hak ini. Rakyat dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk menyuarakan pandangan dan luahan rasa terhadap situasi politik semasa. Namun dalam menyambut dan meraikan kebebasan ini, wujud juga satu keperluan untuk menilai semula kualiti kesedaran dan kefahaman politik dalam kalangan rakyat.
Rakaman video tular dari lokasi perhimpunan menunjukkan ada peserta yang tidak benar-benar memahami objektif utama perhimpunan yang mereka hadiri. Malah apabila ditanya siapakah yang sepatutnya menggantikan kepimpinan negara jika ditukar, jawapan yang diberikan bercampur-baur dan tidak konsisten. Ada yang berkata “sesiapa pun boleh”, ada yang tidak tahu langsung dan ada yang memberi respon emosi tanpa dasar yang jelas. Situasi ini menimbulkan persoalan.
“Adakah kebebasan bersuara dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab dan kefahaman atau menjadi medan tunggangan pihak yang ingin mengambil kesempatan?”
Demokrasi yang kukuh bukan hanya dibina di jalanan tetapi juga melalui institusi, hujah rasional, wacana sihat dan kesedaran sivil yang tinggi. Perbezaan pandangan dan kritikan terhadap dasar Kerajaan adalah perkara biasa dan sihat selagi ia disampaikan dengan tertib, aman dan bertujuan membina.
Hak bersuara seharusnya bergerak seiring dengan tanggungjawab untuk berfikir. Jika kita mahukan perubahan, kita juga mesti bersedia menawarkan alternatif yang lebih baik. Jika kita mengangkat suara rakyat, maka suara itu perlulah datang bersama kefahaman dan pengetahuan. Bukan sekadar emosi dan dorongan sesaat.
Akhirnya, demokrasi yang matang tidak lahir dari keghairahan mengguling tetapi dari kematangan membina. Sebuah negara tidak boleh dibangunkan dengan retorik semata-mata tetapi melalui perbincangan terbuka, kebijaksanaan rakyat dan semangat perpaduan yang berterusan.
Jadilah rakyat yang bukan sahaja lantang bersuara tetapi juga matang berfikir dan bertindak
Disediakan oleh:
Che Nur Syafiqkah Mohamad Fuzi



