Presiden Poland Andrzej Duda, melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD) di Kem Sunggala, sebagai sebahagian daripada agenda hari kedua lawatan rasminya ke Malaysia.
Ketibaan beliau di kem itu 2.53 petang disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.
Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Duda dilihat menunjukkan minat mendalam semasa meninjau KAD berkenaan, melihat sistem komunikasi Fonet yang dipasang pada Gempita yang juga kenderaan berperisai pelbagai guna amfibia.
Presiden itu turut diberi taklimat mengenai Pendekar PT 91M, AV8 Gempita dan FlyEye UAS yang dikeluarkan oleh syarikat Poland, WB Electronics semasa lawatannya.
Lawatan presiden itu mencerminkan usaha kedua-dua negara untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang pertahanan dan pertukaran pengetahuan dalam strategi dan teknologi ketenteraan.
Duda yang ditemani oleh pasangannya, Agata Kornhauser-Duda dan beberapa pegawai kanan Poland, sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, lawatan pertama beliau ke sini sejak menjawat jawatan Presiden pada Ogos 2015.
Lawatan itu hadir pada waktu yang cukup signifikan, semasa Malaysia mempengerusikan Asean, dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada separuh pertama 2025.
Menerusi kenyataan Wisma Putra semalam, lawatan Duda melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.
Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.
Sumber: Harian Metro