PERLUAS MODUL AULAD SEJAHTERA KEPADA SEMUA KAUM – TUANKU MUHRIZ

Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera kepada 5,000 murid di 25 tadika Islam terpilih di Negeri Sembilan bermula tahun ini perlu diperluaskan kepada semua kategori prasekolah pada fasa seterusnya.

Yang Dipertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah modul itu tidak terbatas kepada kanak-kanak Islam semata-mata, sebaliknya relevan dan harus diterapkan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan latar belakang agama.

Menurut baginda, tujuan utama modul itu adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sejak dari peringkat prasekolah. Nilai seperti hormat-menghormati, kasih sayang, tanggungjawab, amanah dan sopan santuni merupakan asas penting dalam pembentukan peribadi seimbang dan harmoni. Nilai-nilai ini juga menjadi teras dalam usaha membina sebuah masyarakat seimbang dari segi akhlak, sosial dan kemanusiaan. Walaupun kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa terdekat, usaha menanam dan memupuk nilai-nilai ini perlu dimulakan daripada sekarang.

Baginda bertitah, untuk mencapai tujuan ini, tanpa menjejaskan nilai asas yang ingin diterapkan, beberapa elemen dan submodul dalam Modul Aulad Sejahtera perlu diteliti semula dan diubah suai agar ia dapat diterima semua kaum.Penglibatan pelbagai pihak dalam proses ini, khususnya wakil-wakil daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, amat penting agar pendekatan yang dibangunkan benar-benar bersifat inklusif serta mencerminkan aspirasi bersama.

Baginda turut menzahirkan harapan agar modul ini juga dapat diserap masuk ke dalam sistem pendidikan arus perdana, khususnya di sekolah rendah, melalui mata pelajaran sedia ada iaitu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bagi mencapai matlamat tersebut, baginda menggesa agar satu usaha kerjasama yang lebih erat dibuat dengan Kementerian Pendidikan khususnya dalam aspek penyelidikan, penilaian serta pelaksanaan dasar.

Baginda yakin dengan pendekatan menyeluruh, bersepadu dan bersifat rentas kaum ini, negara akan dapat melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kemahiran, tetapi juga memiliki akhlak yang mulia, jiwa yang seimbang serta jati diri yang kukuh.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PERANCANGAN STRATEGIK PERKUKUH PRESTASI SYARIKAT

ALBUM: Mohd Ishak merakamkan gambar kenangan bersama Faez dan Catherine serta pihak pengurusan AHSB sempena pertemuan itu. KOTA KINABALU: Pembantu …

PESAWAT TUDM HANTAR BANTUAN MAKANAN KE KAMPUNG SUMAMBU

BANTUAN: Bekalan bantuan makanan dimasukkan ke dalam pesawat helikopter AW139 TUDM untuk dihantar ke Kampung Sumambu, Kemabong. TENOM: Bantuan makanan …

INISIATIF PENDIDIKAN PERKUKUH KOMITMEN KERAJAAN BANTU PELAJAR SABAH

SENTOSA: Hajiji dan jemputan lain bergambar bersama para penerima Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Bantuan Anugerah …