RAMPAS: Jauteh menunjukkan rampasan dadah semasa sidang media di IPK Sabah.
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah sekali lagi menggagalkan cubaan pengedaran dadah keluar ke negara jiran selepas merampas 63.55 kilogram dadah dalam satu serbuan.
Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, syabu bernilai kira-kira RM3 juta itu dirampas hasil penahanan dua lelaki tempatan di kawasan tempat letak kereta berhadapan sebuah pasaraya di Penampang jam 9 malam 27 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan yang dinaiki suspek berumur 30 hingga 33 tahun itu menemukan empat kotak besar yang mengandungi 63.55 kilogram dadah jenis syabu yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Kedua-dua suspek kini sedang ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 7 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek adalah berperanan sebagai transporter yang sudah bergiat aktif sejak tahun lalu dan akan membawa bekalan dadah ke pantai timur Sabah sebelum dibawa keluar ke negara jiran.
“Siasatan mendapati bekalan dadah terbabit dibawa masuk dari semenanjung melalui kurier dan dibawa oleh suspek menaiki jalan darat ke pantai timur Sabah.
“Suspek akan memperoleh bayaran sebanyak RM300 hingga RM500 bagi sekilo dadah dan bayaran yang diperoleh bagi perjalanan dadah yang dirampas ini adalah sebanyak RM30,000,” katanya.
Jauteh berkata, pihak JSJN Kontinjen Sabah juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket lain serta hubungan bagi rampasan susulan yang sudah dilaksanakan sebelum ini.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online