Penduduk daerah ini tidak perlu panik terhadap penularan wabak kusta kerana penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan Guntur yang terjejas, sudah dikuarantin akibat penyakit terbabit. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid,Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sudah mengambil langkah proaktif menangani kes berkenaan. Orang ramai perlu memberikan keyakinan penuh kepada jabatan dan agensi terbabit dalam melaksanakan tugas mereka.
JKD memberikan ubat sewajarnya kepada penduduk (pesakit) dan semua keperluan diperlukan dalam usaha merawat pesakit daripada penularan dan pihak KKM akan terus memantau. Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur dikuarantin selepas merekodkan satu kematian membabitkan seorang remaja pada 17 Februari lalu dan lapan jangkitan kusta membabitkan mereka yang berusia antara 15 hingga 85 tahun.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menutup Pusat Reakreasi Jeram Tengkek berhampiran kampung berkenaan, bagi mengelakkan penularan wabak. Bagi Bibi Sharliza, tindakan kerajaan negeri melaksanakan kuarantin untuk meredakan keadaan dan membuat pembersihan dengan pemeriksaan lebih ketat lagi terhadap penduduk.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataannya, memaklumkan sudah mengambil langkah proaktif dan memberi kerjasama dalam menangani isu wabak itu.Penyakit kusta atau lebih dikenali sebagai Hansen’s disease atau leprosy berpunca daripada jangkitan kuman Mycobacterium leprae, yang boleh menyebabkan kesan sampingan serius pada kulit, saraf, mata, perubahan kosmetik serta bahagian dalam hidung. Penyakit kusta adalah penyakit bawaan udara atau airborne dan boleh merebak melalui titisan di udara, seperti pesakit kusta bersin atau batuk menyebabkan titisan yang mengandungi bakteria dilepaskan ke udara.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, kes kusta di dua perkampungan itu adalah kes terpencil. Penduduk di kedua-dua kampung itu kini dikuarantin dalam rumah masing-masing dan KKM giat menjalankan saringan ke atas penduduk serta kontak rapat dan mana-mana yang dikesan mengalami simptom akan diberikan rawatan awal. Ketika ini KKM masih menyiasat punca jangkitan.
Sumber: Berita Harian