KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan bahawa setiap dasar dan keputusan yang diambil kerajaan negeri perlulah berasaskan kepentingan rakyat.
Baginda bertitah, ini kerana rakyat adalah tunjang kekuatan negeri dan tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka hidup dalam keadaan aman, makmur, dan sejahtera.
“Dengarlah suara mereka, peka kepada masalah dan keperluan mereka. Saya juga ingin menyeru agar semua jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk memudahkan urusan birokrasi rakyat.
“Proses yang cekap dan mesra rakyat akan membantu mengurangkan beban mereka serta menunjukkan komitmen kita dalam memberikan perkhidmatan terbaik,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Penyerahan Surat Cara Pelanjutan Tempoh Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pahang di Istana Abdulaziz di sini, semalam.
Al-Sultan Abdullah turut menekankan kepada semua EXCO Pahang sentiasa meletakkan kepentingan negeri Pahang di hadapan.
“Kesetiaan kepada negeri ini haruslah mengatasi segala kepentingan lain. Pahang adalah tanah tumpah darah kita dan segala usaha serta pengorbanan haruslah ditumpukan untuk kemajuan negeri dan kerajaan Sultan Pahang ini.
“Saya menggesa semua EXCO bekerja keras dan melaksanakan tugas dengan penuh komitmen.
“Kepercayaan yang diberikan kepada kalian bukanlah sekadar amanah tetapi tanggungjawab besar untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri ini terus berkembang,” titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas kejayaan meningkatkan hasil negeri kepada RM1.144 bilion.
Titah baginda, pencapaian itu adalah bukti kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dan usaha gigih dalam memastikan kemajuan ekonomi negeri.
“Walau bagaimanapun, kita memerlukan lebih banyak pelaburan langsung asing untuk terus memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
“Saya berharap usaha menarik pelabur asing dapat dipertingkatkan demi manfaat bersama rakyat dan negeri,” titah baginda.
SUMBER: BERITA HARIAN DAN KESULTANAN PAHANG