PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membayangkan akan ada berita baik untuk pegawai perubatan kerajaan berhubung pembayaran kenaikan elaun ‘on call’.
Tanpa memberikan perincian, beliau berkata sudah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.
Justeru, beliau berkata perkara dibangkitkan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.
“Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri sebentar tadi. Beliau menyebutkan pada saya supaya menunggu (keputusan mesyuarat) Kabinet Jumaat ini, untuk mendapat keputusan secara tuntas.
“Perdana Menteri sebutkan pada saya, kita akan membuat keputusan ini secara tuntas dalam (mesyuarat) Kabinet Jumaat ini dan jangan diumumkan buat sementara.
“Tapi itulah semangatnya adalah seperti mana (kenyataan saya pada) Ogos (tahun lalu) dan juga dalam ucapan Perdana Menteri bahawa kenaikan itu adalah satu yang beliau sebutkan dalam ucapan Belanjawan 2025.
“Jadi perkara itu pada saya adalah posisinya begitu. Perincian dan pelaksanaannya itu macam mana, (ikut) nasihat Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Kita doakan bersama kepada Allah (akan ada berita baik), Insya-Allah,” katanya pada sidang media khas hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, doktor kerajaan dalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kecewa dengan kementerian kerana masih mengelak daripada melaksanakan kenaikan elaun on call seperti dijanjikan untuk doktor.
Bahagian pegawai pelatih, pegawai perubatan dan pakar perubatan berkata doktor masih menunggu agar elaun mereka dinaikkan seperti yang diumumkan dua kali tahun lalu.
Menurut MMA Schomos, pihaknya masih menunggu elaun on call yang lebih tinggi, yang diumumkan kali kedua dalam Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, tanpa sebarang perincian mengenai pelaksanaannya.
SUMBER: BERITA HARIAN



