KUANTAN, 16 JANUARI 2025 : Seramai 121 warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing di Cameron Highlands dalam operasi yang berjalan selama dua hari bermula semalam.
Operasi Bersepadu ini melibatkan 143 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan serta agensi penguatkuasa iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Majlis Keselamatan Negara Pahang (MKN); Jabatan Imigresen Pahang; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Jabatan Tenaga Kerja Putrajaya/Perak/Pahang (JTK); Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP); Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH); Pejabat Daerah Tanah Cameron Highlands (PDTCH); dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Pemangku Superintenden Azri Ramli, operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap tempat penginapan, premis perniagaan, kawasan pembinaan, serta sekatan jalan raya.
“Sebanyak 56 buah premis telah diserbu melibatkan seramai 686 warga tempatan dan 2,090 warga asing diperiksa.
“Hasil pemeriksaan seramai 121 warga asing telah ditahan mengikut kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Warga asing yang ditahan merupakan warga Bangladesh 76 orang; Indonesia (22); Myanmar (14); Pakistan (4); India dan Nepal masing-masing 2 orang; dan Vietnam (1). Ia melibatkan 111 lelaki dan 10 wanita ditahan,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 32 premis turut dikenakan 52 pertuduhan mengikut pelbagai kesalahan oleh pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam operasi berkenaan.
“Disamping itu, hasil pemeriksaan sekatan jalan raya telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan di bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976 Kastam dan seorang lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala, saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sebanyak 156 saman, terdiri daripada 31 saman oleh pihak PDRM manakala 125 lagi dikeluarkan oleh JPJ. Kesemua tangkapan ini akan didakwa mengikut kesalahan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, objektif utama operasi ini dijalankan adalah bagi membanteras peningkatan kes jenayah melibatkan warga asing dan membanteras kebanjiran mereka di daerah Cameron Highlands.
Beliau berkata, operasi seumpama ini akan dijalankan secara berterusan bagi mengurangkan kadar jenayah melibatkan warga asing dan membanteras kebanjiran mereka di Daerah Cameron Highlands.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
SUMBER: PAHANGMEDIA