Kesejahteraan emosi si kecil anda berkait rapat dengan waktu permainan mereka. Cara kanak-kanak kecil belajar dan memahami dunia sekeliling mereka adalah melalui permainan. Dalam mereka berseronok, kanak-kanak turut membangunkan bahagian penting dalam perkembangan mereka seperti pembinaan kemahiran motor, kognitif, sosial dan emosi. Bahkan, daya permainan melangkaui pembelajaran awal. Permainan juga antara peranan utama dalam pembentukan kesihatan mental anak-anak anda malahan ibu bapa juga.
Meluangkan masa untuk bermain merupakan sesuatu yang sihat dan menyeronokkan. Kanak-kanak yang kerap bermain bersama ibu bapa dan penjaga mereka kurang mempunyai masalah seperti kebimbangan, kemurungan, bersikap agresif dan tidak boleh tidur.
Ibu bapa juga boleh mengeratkan hubungan bersama anak-anak melalui permainan. Ini kerana, detik-detik manis ketika belajar dan bersuka ria dapat mengeratkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa mereka sebagai teman sepermainan pertama mereka. Ibu bapa mempunyai daya untuk membuka peluang bagi pembelajaran dan perhubungan yang baik di rumah. Apabila kita bermain bersama-sama dengan anak-anak, kita dapat melihat dunia dari kaca mata anak-anak. Dengan mencurahkan kasih sayang, perhatian dan keselesaan, kita sedang membina tapak asas untuk perkembangan emosi anak-anak kita. Di samping itu, kita juga sedang mendidik mereka dengan kemahiran sosial yang dapat menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan mereka di masa hadapan. Melibatkan diri dalam permainan, tarian dan nyanyian merupakan cara yang bagus untuk mengurangkan tekanan anak-anak dan ibu bapa. Apabila kita sedang menikmati detik-detik menyeronokkan sambil bergelak-ketawa, tubuh anda merembeskan endorfin. Hormon semula jadi inilah yang bertanggungjawab untuk menggalakkan kesejahteraan.
Walaupun sejenak, setiap sesi permainan bersama dapat menjadi peringatan kuat kepada orang dewasa tentang kemampuan mereka untuk menyokong kanak-kanak. Ibu bapa dan penjaga perlu merebut peluang emas ini untuk berehat daripada tekanan kerja dan tanggungjawab lain.
Kajian juga mendapati masa yang diluangkan untuk bermain dapat melindungi kanak-kanak daripada kesan negatif atau pendedahan tekanan yang berlarutan. Keadaan yang mempunyai banyak tekanan pada jangka masa yang panjang boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan kanak-kanak. Permainan dan perhubungan yang positif dan penuh sokongan bersama orang dewasa dapat menampan kesan-kesan berikut.
Bermain dengan kanak-kanak dapat membantu kanak-kanak dalam memproses emosi “besar”. Apabila kanak-kanak sedang bergelut dengan isu-isu emosi yang rumit, ia sering timbul ketika mereka bermain. Berikan kanak-kanak ruang untuk mereka peluang untuk memproses perasaan seperti kesakitan, ketakutan atau kehilangan, pada masa yang sama mereka masih lagi dapat menjadi seorang kanak-kanak. Permainan memberikan mereka cara untuk meluahkan perkara yang mereka sedang bergulat dengannya tetapi belum lagi tahu cara untuk menerangkan perkara itu sepenuhnya. Si kecil mengulangi peristiwa yang menyakitkan berulang kali semasa permainan imaginasi kerana mereka mahu cuba memahami apa yang telah berlaku. Contohnya, jika anak-anak kita menyaksikan ibu bapanya bertengkar, mereka mungkin akan “memainkan semula” konflik tersebut dengan anak patung mereka.
Kita dapat membina keyakinan diri anank-anak melalui permainan. Menyelesaikan masalah dan mencari penyelesaian kreatif ketika bermain atau sedang mengerjakan teka-teki dapat memberi kanak-kanak perasaan kepuasan dan berkemampuan. Apabila kita meluangkan masa bersama si kecil kita, mereka sedang mempelajari bahawa diri mereka dihargai dan disukai. Penting untuk penjaga berikan perhatian sepenuhnya ketika waktu bermain dan libatkan diri sepenuhnya dalam permainan mereka besama. Berkongsi pengalaman bersama memberitahu anak-anak anda yang mereka disayangi dan bermakna. Jadi, layangkan senyuman, libatkan diri dan nikmati setiap saat bersama mereka!
Sumber : UNICEF MALAYSIA