MELAKA, NEGERI SEMBILAN, PERLIS DAN PUTRAJAYA SIFAR MISKIN TEGAR SETAKAT 30 NOVEMBER

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi memaklumkan empat negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah merekodkan sifar miskin tegar berdasarkan data eKasih setakat 30 November 2024.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara, kementerian itu memaklumkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar telah menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan.

“Negeri-negeri lain merekodkan penurunan insiden miskin tegar secara signifikan,” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung usaha Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan tegar.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan miskin tegar dalam negara berkurangan kepada 2,191 ketua isi rumah setakat 30 November berbanding 91,789 yang dicatatkan pada 31 Disember 2023.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tangga teratas (474) diikuti Kedah (341), Sabah (289), Johor (275), Pahang (174), Pulau Pinang (122), Selangor (112), Terengganu (103), Kelantan (99), Sarawak (91), Perak (62) dan Wilayah Persekutuan Labuan (49).

Menurut kementerian itu, usaha menoktahkan kemiskinan berdepan cabaran tersendiri yang menjadikan ia sedikit sukar antaranya insiden kemiskinan bersifat dinamik kerana isi rumah miskin bertukar ganti sepanjang masa.

“Dalam mempergiat usaha untuk membasmi kemiskinan, kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

KERAJAAN BERI LEBIH TUMPUAN KEPADA “EKONOMI RAKYAT”: FAHMI

Fahmi menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada petugas pada Majlis APC Kementerian Komunikasi Zon Sabah hari ini. – Gambar …

MELAKA REKOD 7.2 JUTA PELANCONG SETAKAT JUN, JANA EKONOMI RM7.27 BILION

Ayer Keroh – Melaka merekodkan lebih 7.2 juta pelancong sehingga Jun tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi …

TERIMA KASIH ATAS KEPERCAYAAN KEPADA SAYA – AZHAR ARSHAD

Ayer Keroh – Berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka selama dua tahun dan dua bulan menjadi antara pengalaman amat bermakna …