BENCANA banjir banyak kesan buruk termasuk berlaku peningkatan jangkitan penyakit seperti cirit-birit (termasuk taun dan disentri), jangkitan pernafasan, hepatitis A dan E, demam kepialu, leptospirosis serta penyakit bawaan serangga selepas surut.
Kejadian banjir di Malaysia terutama ketika musim tengkujuh memberi ancaman kepada kesihatan awam khususnya bagi negara beriklim tropika.
Ia boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan yang memberi kesan jangka masa panjang.
Pertambahan sampah dan air tercemar yang melimpah masuk ke dalam takungan dan saliran air meningkatkan risiko terjadinya penyakit berjangkit.
Demam kepialu
Deman kepialu disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang terdapat dalam air minuman dan makanan yang tercemar. Penyakit ini berhubung secara langsung dengan air yang tercemar. Simptom penyakit ini adalah sakit kepala, kehilangan selera makan, demam tinggi, dan cirit-birit. Oleh itu, elakkan makanan jalanan dan daripada mana-mana tempat yang tidak bersih.
Kolera
Sama seperti demam kepialu, kolera disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Vibrio Cholera yang tersebar di dalam air minuman dan makanan. Lalat adalah pembawa penyakit ini. Simptom kebiasaan dialami adalah sakit pinggul dan muntah. Oleh itu, selain memakan makanan yang bersih dan dimasak, anda juga perlu mencuci tangan dan bekas makanan sebaiknya.
Leptospirosis
Tidak seperti demam kepialu dan kolera, ia adalah satu jangkitan yang boleh tersebar terus daripada air yang tercemar. Leptospirosis disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat dalam air kencing haiwan seperti tikus, lembu dan kerbau. Jangkitan berlaku melalui luka yang terbuka atau melalui kulit yang berada di dalam air banjir dalam tempoh yang panjang atau membran mukus mata dan mulut.
Simptom penyakit ini adalah sejuk berserta sakit kepala, demam, sakit otot, jangkitan mata (merah dan berair). Jika penyakit ini tidak dapat dikesan tepat pada masanya, pesakit mungkin akan koma. Oleh itu, elakkan terlalu banyak berjalan dalam air banjir. Pakai kasut getah setiap kali anda perlu berjalan di dalam air. Manakala berenang di dalam air banjir adalah dilarang sama sekali.
Hepatitis A
Keradangan sel hati menyebabkan hati berfungsi dengan tidak normal. Virus yang menyebabkan keradangan ini adalah hepatitis A. Penyakit ini disebabkan oleh makanan yang tidak bersih atau tidak dimasak. Simptom biasa yang dialami oleh pesakit adalah demam ringan, kehilangan selera makan, sakit perut dan mata kuning. Oleh itu, bagi mengelakkan penyakit ini semasa banjir, makan makanan yang bersih dan dimasak, dan jangan berkongsi gelas minuman yang sama dengan orang lain.
Demam denggi
Demam denggi adalah disebabkan oleh jangkitan virus aedes aegypti. Ia adalah penyakit biasa pada musim hujan akibat nyamuk. Beberapa simptom penyakit ini adalah hilang selera makan, muntah, sakit otot, kulit kemerahan, dan bintik-bintik darah pada kulit. Sebaiknya, gunakan krim dan semburan untuk mengelakkan gigitan nyamuk.
Sumber rujukan:
- Kementerian Kesihatan Malaysia
- Berita Harian