AL-SULTAN ABDULLAH, TUNKU AZIZAH TERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN MMU

CYBERJAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, masing-masing dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) Ke-25, hari ini.

Konvokesyen kali ini mencatat sejarah tersendiri buat MMU apabila julung kali mempersembahkan ijazah kehormat doktor pengurusan kepada pasangan diraja.

Anugerah berkenaan yang disampaikan Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi pada majlis turut dihadiri Pro Canselor,Prof Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan pasangan diraja terhadap amalan pengurusan yang baik.

Dalam titah, Al-Sultan Abdullah yang menganggap ijazah kehormat diterima sebagai pengiktirafan besar yang cukup mulia, menujukan penganugerahan berkenaan untuk seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara khususnya sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Pahang juga mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang menerima ijazah hasil usaha keras, pengorbanan dan sokongan daripada keluarga serta tenaga pengajar di MMU.

“Ilmu sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan perubahan global, jangan kita berhenti belajar walaupun telah mengengam ijazah. Belajarlah sepanjang hayat untuk kekal relevan kerana dunia sentiasa berubah.

“Jangan pernah berasa puas dengan apa yang dipelajari kerana ilmu ibarat lautan tidak bertepi,” baginda.

Sementara itu, Presiden MMU, Prof Datuk Mazliham Mohd Su’ud, berkata ijazah kehormat doktor pengurusan kepada pasangan diraja itu adalah pengiktirafan tertinggi kepada tokoh yang banyak memberi sumbangan besar kepada negara.

“Ini mengiktiraf kepimpinan luar biasa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah dalam pentadbiran dan tadbir urus yang banyak memberi sumbangan kepada kestabilan dan kemakmuran negara walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya.

Seramai 3,657 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana serta doktor falsafah (PhD) pada konvokesyen tiga hari sehingga Isnin ini, melibatkan 1,172 graduan diploma; sarjana muda (2,141) dan sarjana serta PhD (344).

Majlis konvokesyen turut menyaksikan 40 pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( MCMC) menamatkan pengajian ijazah pentadbiran perniagaan (MBA) menerusi siri program pengajian inovatif dan direka untuk memupuk serta memberdayakan pemimpin masa depan MCMC.

Pada hari pertama konvokesyen hari ini, 12 graduan terbaik menerima Anugerah Canselor, Anugerah Presiden dan Anugerah Permata MMU.

Anugerah Canselor diterima graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Elektronik Pengkhususan Telekomunikasi, Muhammad Asif Shaik Saffarudin, 23, yang juga bekas pesakit leukemia yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.93.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Ong Yong Xun; graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) (Sains Data), Abimanyu Sivasankar dan graduan Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Kepujian) (Realiti Maya), Teoh Sing Jian pula menerima Anugerah Presiden.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …